Covid-19: MB seru rakyat solat hajat

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menyeru masyarakat agar mengadakan solat hajat di masjid atau kediaman masing-masing sebagai amalan taqarub bagi memohon perlindungan dan membendung penularan wabak Covid-19.

“Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semua rakyat diminta untuk mengadakan solat hajat di masjid dan kediaman masing-masing dan memberbanyakan bacaan Al-Quran dan bersedekah.

“Mudah-mudahan dengan amalan taqarub tersebut dan dengan keberkatan bulan Ramadan wabak ini dapat dibendung,” kata Menteri Besar, Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob melalui satu kenyataan, hari ini.

Advertisement

Menurutnya, ketika ini kerajaan memantau rapi penularan wabak Covid-19 di seluruh negeri ini.

Beliau juga menyeru kepada seluruh rakyat negeri ini semua pihak untuk sama-sama mengambil peranan dan tanggungjawab bagi membendung penularan dengan memastikan saranan serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sentiasa dipatuhi.

Katanya, dengan peningkatan kes Covid-19 secara mendadak telah menyebabkan PKP dikuatkuasa kembali ke atas tujuh daerah bermula pada 16 April sehingga 29 April 2021.

Dalam pada itu katanya, Kelantan hari ini telah mencatat kadar kebolehjangkitan yang tinggi di Malaysia iaitu pada kadar 1.32 berbanding kadar kebangsaan 1.19.

Katanya, Kelantan juga masih terdapat sebanyak 2,627 sampel yang masih belum mendapat keputusan ujian.

Tambahnya, lebih membimbangkan lagi penggunaan katil Hospital dan PKPRC semakin meningkat.

Manakala, sebanyak 23 peratus kes dikesan tidak melibatkan kontak rapat yang mana menunjukkan jangkitan dalam komuniti sangat tinggi.

Selain itu katanya, langkah penutupan sekolah dalam kawasan PKP terpaksa dilaksanakan berikutan 30 peratus jangkitan adalah daripada kalangan warga sekolah.

Sehubungan itu, beberapa langkah turut akan diambil bagi mengatasi penularan di tempat kerja, sekolah, masjid dan kominiti.

Sementara itu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan mengarahkan semua sekolah dan institusi pendidikan yang berada di tujuh jajahan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri itu ditutup bermula hari ini hingga 24 April depan.

Pengarah JPN Kelantan, Zulkernai Fauzi berkata keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Khas Kelantan – Penguatkuasaan Covid-19 petang semalam.– HARAKAHDAILY 18/4/2021