Aktiviti sekolah: Jangan hakis perpaduan kaum

Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan sebuah sekolah di negeri Johor yang telah membahagi-bahagikan aktiviti berpersatuan dan jenis sukan mengikut kaum amat dikesali.

Timbalan Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi berkata, hal sedemikian tidak sepatutnya berlaku di dalam sebuah negara yang dihuni oleh pelbagai keturunan serta diiktiraf sebagai masyarakat majmuk.

Katanya, umum mengetahui bahawa premis pendidikan adalah pusat pembelajaran yang menyatukan semua kaum di bawah satu bumbung.

- Advertisement -

“Sementara aktiviti sukan sekolah pula merupakan instrumen untuk membina perpaduan rentas kaum serta keharmonian hidup bersama yang perlu dipupuk mulai bangku sekolah lagi,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ini susulan seorang pengguna Twitter, kelmarin yang berkongsi sekeping gambar menunjukkan surat senarai pendaftaran aktiviti kokurikulum dan sukan bagi pelajar Tingkatan Satu yang didakwa terbuka kepada satu kaum sahaja.

Menerusi foto yang dikongsi itu dinyatakan bola sepak dan sepak takraw hanya terbuka untuk pelajar lelaki Melayu, bola jaring terbuka untuk pelajar perempuan Melayu, sementara bola keranjang dan ping pong untuk pelajar lelaki dan perempuan Cina.

Selain kegiatan sukan, sekolah itu juga sebelum ini menetapkan hanya kaum tertentu boleh menyertai sejumlah kelab berdasarkan bahasa, mata pelajaran, kebajikan dan kepercayaan.

“Sekiranya pihak berkenaan mengambil tindakan menghadkan aktiviti kokurikulum seperti aktiviti persatuan atau sukan kepada kaum tertentu sahaja, maka usaha melahirkan generasi yang saling hormat menghormati antara kaum akan gagal dan perpaduan kaum makin terhakis secara beransur-ansur,” kata Ahmad Fakhruddin.

Sehubungan itu, ujarnya pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu mengambil langkah segera supaya insiden penetapan jenis sukan kepada kaum-kaum tertentu tidak lagi berulang

Ini katanya kerana ia tidak membantu mengukuhkan hubungan antara kaum, tetapi lebih mendatangkan mudarat pada masa akan datang. – HARAKAHDAILY 18/4/2021

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!