PENGHAYATAN ayat melalui Juz 5 pada hari ini meneliti adab Muslim sesama Muslim dan orang bukan Islam khasnya ketika dalam suasana perang berlaku. Walaupun semasa tercetus perang, Islam sangat mementingkan adab yang tinggi dan perlu bertabayyun atau selidiki terlebih dahulu tanpa terburu-buru sebelum membuat keputusan. Allah SWT berfirman dalam hal ini:
یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوۤا۟ إِذَا ضَرَبۡتُمۡ فِی سَبِیلِ ٱللَّهِ فَتَبَیَّنُوا۟ وَلَا تَقُولُوا۟ لِمَنۡ أَلۡقَىٰۤ إِلَیۡكُمُ ٱلسَّلَـٰمَ لَسۡتَ مُؤۡمِنࣰا تَبۡتَغُونَ عَرَضَ ٱلۡحَیَوٰةِ ٱلدُّنۡیَا فَعِندَ ٱللَّهِ مَغَانِمُ كَثِیرَةࣱۚ كَذَ ٰلِكَ كُنتُم مِّن قَبۡلُ فَمَنَّ ٱللَّهُ عَلَیۡكُمۡ فَتَبَیَّنُوۤا۟ۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِیرࣰا
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu pergi (berperang) pada jalan Allah (untuk membela Islam), maka hendaklah kamu menyelidik (apa jua perkara dengan sebaik-baiknya), dan janganlah kamu (terburu-buru) mengatakan kepada orang yang menunjukkan kepada kamu sikap damai (dengan memberi salam atau mengucap dua Kalimah Syahadah): engkau bukan orang yang beriman (lalu kamu membunuhnya) dengan tujuan hendak mendapatkan harta benda kehidupan dunia (yang tidak kekal). Maka di sisi Allah ada disediakan limpah kurnia yang banyak. Demikianlah juga keadaan kamu dahulu, lalu Allah mengurniakan nikmat-Nya kepada kamu. Oleh itu selidikilah (apa-apa jua terlebih dahulu, dan janganlah bertindak dengan terburu-buru). Sesungguhnya Allah sentiasa memerhati dengan mendalam akan segala yang kamu lakukan”. (Al-Nisa’: 94)
Ayat tersebut menjelaskan bagaimana Rasulullah SAW memarahi serta tidak meredhai perbuatan Muhallim bin Jathãmah yang telah membunuh Âmir bin Al-Adhbath setelah dia memberi salam sebagaimana dinyatakan oleh Imam Qurtubi melalui riwayat Ibnu Ishak.
Sementara dalam riwayat lain dinyatakan ada sahabat yang telah membunuh non-Muslim yang mengucap dua kalimah syahadah setelah beliau mulai tewas ketika berperang. Apabila berita sampai kepada Rasulullah SAW, baginda sangat marah dan menyanggahi perbuatan tersebut dan ghanimah dikembalikan serta ia dikira sebagai suatu dosa.
Sesungguhnya Islam sangat adil dalam berinteraksi dengan non-Muslim bahkan sejarah telah membuktikan apabila Nabi SAW mentadbir negara Islam Madinah, hak orang bukan Islam terbela dan suasana harmoni dikecapi bersama.
Umat Islam hendaklah memberi layanan baik terhadap non-Muslim khususnya apabila dilihat mereka berminat dengan keindahan Islam. Sebagai contoh ada dalam kalangan non-Muslim yang ingin berpuasa kerana ingin merasai suasana nikmat berbuka puasa. Maka, jangan halang mereka, sebaliknya berilah galakan, mudah-mudahan Allah membuka pintu hidayah-Nya.
Umat Islam juga mesti berlaku adil dalam mengendalikan sesuatu perkara dan jadilah umpama seorang hakim yang adil saksama. Tidak terburu-buru dengan membuat tohmahan apatah lagi memutuskan sesuatu tanpa didahului soal selidik. Orang yang terburu-buru dan tidak bertabayyun adalah anak didik syaitan yang sentiasa menyeru anak Adam ke arah perkara tersebut. Sabda Rasulullah SAW:
التَّأَنِّي مِنَ اللَّهِ، وَالْعَجَلَةُ مِنَ الشَّيْطَانِ
Maksudnya: “Mengambil langkah berhati-hati dengan menyelidik itu tuntutan Allah, manakala terburu-buru itu adalah ajaran syaitan.” (Riwayat Baihaqi)
Imam Abu Bakar Al-Jassãs melalui tafsirnya menyatakan bahawa tabayyun itu ialah ilmu. Dalam setiap perkara mesti didahulukan ilmu. Tanpa ilmu menyebabkan seseorang itu mudah terkesan dengan hal keduniaan termasuklah mengejar kedudukan dan harta walaupun atas nama perjuangan Islam. Sepatutnya urusan dakwah dan jihad adalah untuk mendaulatkan Islam dan bukannya mengejar faedah serta manfaat duniawi.
Maka tabayyun mesti menjadi KPI semua umat Islam khasnya ketika menerima pelbagai berita yang sumbernya tidak dikenalpasti sebagaimana banyak terjadi di zaman serba canggih ini. Ramadan adalah bulan yang mendidik peribadi muslim untuk terus kekal menjadi seorang yang berdisiplin tinggi.
USTAZ DATO’ AHMAD YAKOB
05 Ramadan 1442/17 April 2021 – HARAKAHDAILY 17/4/2021