PAS, Umno sepakat kuatkan MN Selangor

KUALA LUMPUR: PAS dan Umno Negeri Selangor terus berpegang kepada prinsip dan pendirian yang jelas akan terus memperkuatkan Muafakat Nasional (MN) negeri itu sehingga Pilihan Raya Umum ke-15.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi menegaskan PAS negeri berpegang kepada kesepakatan yang dicapai bersama Umno dan akan memastikan tidak akan berlaku sebarang pertembungan pada pilihan raya umum nanti.

Advertisement

Katanya, walaupun situasi MN di peringkat Pusat berbeza tetapi ia tidak menjejaskan hubungan baik dan kesepakatan yang dicapai oleh Muafakat Nasional di Selangor.

Dalam mesyuarat Muafakat Nasional Mac lalu telah memutuskan tema Muafakat Nasional Selangor adalah #bersamaMNSelangor.

“Mesyuarat MN juga memutuskan semua program bersama rakyat akan dilaksanakan bersama. Muafakat Nasional juga telah melancarkan pelekat (sticker) kereta dan motor yang sepatutnya dilancarkan pada 4 April lalu,” katanya.

Beliau bersama Pengerusi Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar telah melancarkan peleat motor dan kereta MN Selangor selepas majlis berbuka puasa di Pejabat Perhubungan PAS Negeri Selangor, Shah Alam. – HARAKAHDAILY 17/4/2021