Juang dan doa Tok Guru, PAS kini di persada politik

- Advertisement -

SIYASAH (politik) dari sudut bahasa bermaksud menyusun, mengurus, atau mentadbir. Menurut Ibnu Manzur, di dalam kitabnya Lisanul Arab, siyasah bermaksud “mendirikan sesuatu perkara yang memberikan kemaslahatan kepada perkara yang ditadbir olehnya”.

Kata Syeikhul Islam terakhir Khalifah Uthmaniyyah, Syeikh Mustafa Sabri Effandy, wajib dan perlu bagi umat Islam memahami politik dan menempatkan diri di persadanya jika berkelayakan dan mempunyai sifat-sifat kepimpinan. Kerana ia termasuk dalam urusan menegakkan syariat dan Daulah Islamiyah sebagaimana Baginda S.A.W mengasaskan Negara Islam Madinah.

Timbalan Ketua Urusan Ulamak PAS Kawasan Bentong, Ustaz Abdul Hamid Bahatim berkata, untuk melaksanakan Islam, perlu melalui politik kerana Nabi Muhammad S.A.W menegak dan mentadbir agama dengan siasah atau politik.

- Advertisement -

“Untuk melaksanakan Islam mesti dengan politik. Imam Ghazali sebut, `iqomatuddin wa siyasatuddunyaa bih’, tegaklah kamu akan agama dan berpolitik kamu dalam dunia ini.

“Sebab itu kita dalam PAS ni, badan dakwah pun kita, badan politik pun kita, perjuangan Islam pun kita, semua kita,” ujar beliau

Abdul Hamid mengembalikan ingatan dan semangat hadirin dengan berkongsi cerita pada tahun 1955 di mana Almarhum Tuan Guru Ahmad Tuan Hussein adalah tokoh PAS pertama dilantik sebagai wakil rakyat. Beliau memenangi satu-satunya kerusi tunggal PAS dalam pilihan raya Parlimen Kawasan Krian Laut (sekarang Parlimen Parit Buntar) menewaskan calon Perikatan. 

Menurut catatan, Tuan Guru Ahmad Hussein yang digelar `Encik Pembangkang’ daripada Ahli Parlimen lain, adalah satu-satunya calon pembangkang yang menang dalam pilihan raya pertama pada tahun itu. Beliau mengalahkan Ustaz Haji Sulaiman Ahmad atau lebih dikenali sebagai `Sulaiman Palestin’ yang juga merupakan satu-satunya calon Perikatan yang kalah pada tahun itu.

“PAS didaftarkan sebagai parti politik untuk sertai pilihan raya atas nama Parti Islam Tanah Melayu pada tahun 1951. PAS masuk bertanding dalam pilihan raya persekutuan atau dipanggil `pra pilihan raya’ pada tahun 1955 iaitu pilihan raya Malaysia yang pertama sekali. 

“PAS ini parti yang `tua’, memahami segala sepak terajang politik. PAS melangkah kaki ke dewan Parlimen dengan satu kerusi dimenangi Almarhum Tuan Guru Haji Hussein dan membawa mesej Islam. Bermula era itu, semangat atau roh Tuan Guru bila masuk dewan orang perli dia, orang perli dia. 

“Nak buat apa tok guru masuk dewan, tok guru hanya boleh baca doa saja. Macam tu orang kata kat dia. Tapi hari ni, doa itulah kesannya pada hari ini tuan-tuan. Doa tok gurulah pada hari ini tuan-tuan kita berada dalam perjuangan Islam. 

“Dan kita yang berada dalam PAS pada hari ini, kita kena memahami kerja buat kita, apa tujuan, apa maksud, apa faedah kita duduk dalam PAS, bukan nak rebut kuasa,” jelas Ahli Jawatankuasa PAS Bentong ini. 

Ustaz Abdul Hamid paling lama berkhidmat sebagai `Yang Dipertua PAS Kawasan’ iaitu selama lebih 20 tahun dan kini masih lagi aktif bekerja menyumbang bakti untuk agama dan parti.

Abdul Hamid ketika menyampaikan taujihat dalam program Taklimat PAS Kawasan Bentong Bersama JKKK Wakil PAS Bentong turut berpesan agar ahli PAS duduk dalam program-program berbentuk tarbiyah. Katanya, supaya lebih mudah memahami perjuangan dan dapat `menundukkan’ nafsu yang tidak baik.

Seramai 36 Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) lantikkan PAS Bentong berkumpul dalam satu program taklimat PAS Bentong bersama JKKK di Dewan Orang Ramai Kampung Karak Setia, baru-baru ini.

Program ini bertujuan untuk mengumpul ahli-ahli JKKK daripada 26 kampung mewakili empat DUN yang ada di dalam Parlimen Bentong iaitu DUN Bilut, Ketari, Sabai dan Pelangai.

Menurut Yang Dipertua PAS Bentong, Khairuddin Abdullah, taklimat ini juga bertujuan untuk memberi gambaran dan penerangan jelas mengenai tugas-tugas sebagai ahli JKKK mewakili PAS.

“Wakil PAS mesti sentiasa segak dan kemas, tepati masa, proaktif mengambil bahagian dalam perbincangan serta aktif menjalankan aktiviti bermanfaat di kampung-kampung yang mereka diamanahkan mewakili.

“Kita juga mesti tahu sejarah. Sebab itu kita jemput Ustaz Hamid datang hari ini untuk bercerita tentang sejarah PAS dan berkongsi serba sedikit ingatan dan pesanan kepada wakil-wakil JKKK agar menjaga nama baik PAS dan mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat,” ujar Khairuddin dalam ucapan perasmiannya.

Hadir sama dalam sesi taklimat dan soal jawab program petang itu adalah Ahli Jawatankuasa PAS Bentong, Jamali Raib dan Penolong Setiausaha PAS Bentong, Tuah Tonel selaku moderator program. – HARAKAHDAILY 17/4/2021

- Advertisement -