‘Biah’ keluarga penting dalam mencorak peribadi anak

- Advertisement -

PAYA BESAR: Tanggungjawab menjaga dan mendidik dengan penuh kasih sayang amat penting dilaksanakan dalam rumah tangga di mana ia menjadi elemen penting pembentukan anak soleh dan solehah.

ADUN Panching, Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya menyuntik nasihat berharga bagi mencapai matlamat kehidupan berkeluarga itu ketika menyampaikan bantuan ‘one-off’ Kerajaan Negeri Pahang di Dewan Serbaguna Taman Tas, di sini baru-baru ini.

“Anak-anak ini anugerah Allah S.W.T kepada kita. Akan seronok, bahagianya kita dalam keluarga ini adalah kerana adanya anak-anak. Walaupun macam-macam perangai, tapi ia akan menyeronokkan kita, keluarga kita. 

- Advertisement -

“Anak-anak ini mesti diberi kasih sayang, dijaga dengan baik. Bukan diberi cukup duit belanja sahaja, beri ikut apa yang dia nak, tetapi kasih sayang diberikan kepada anak-anak. 

“Saya yang biasa menerima kunjungan dari masyarakat di pejabat saya, atau saya pergi rumah ke rumah. Keluarga yang bermasalah, biasanya anak-anak yang bermasalah datangnya daripada ibu bapa yang bermasalah. 

“Ibu bapa yang selalu berbalah, berkelahi, bertekak, lepas tu cerai. Biasanya anak-anak ini akan membesar dalam keadaan yang bermasalah,” ujarnya menggambarkan antara nikmat dan masalah itu sebagai nasihat.

Katanya, harapan beliau adalah masyarakat dalam DUN ini terutama ibu bapa muda agar menjadi teladan yang akan mewujudkan suasana baik dalam keluarga kerana anak-anak paling terkesan atas tingkah laku.

“Jangan selalu berbalah, jangan guna perkataan yang tak elok bahasanya, jangan kita marah anak kita dengan perkataan yang melampau-lampau, semua ini akan memberi kesan kepada emosi dan pemikiran anak-anak kita. 

“Kalau kita gagal membentuk suasana yang baik, dan lahir anak-anak yang tidak baik, dia akan memberi kesan juga kepada kita, apabila kita dah tua nanti. Banyak mak ayah yang ditinggalkan anak-anak. Mak ayah, apabila ditanya, mereka akan menangis. 

“Sedih sebab anak-anak tak boleh jaga dia. Sebenarnya silap mak ayah, yang tidak jaga anak-anak dari kecil dengan pendidikan yang betul. Pendidikan ini bukan tugas semata-mata cikgu. Sebenarnya pendidikan yang paling penting ialah mak ayah,” ujarnya.

Program yang berlangsung selama beberapa hari ini turut melibatkan jelajah ke 11 sekolah sekitar DUN Panching dengan jumlah keseluruhan penerima iaitu 1,051 pelajar.

Turut hadir pada petang tersebut ialah Pengerusi JKKK Kampung Pandan 1, Ishak Mat Arib serta wakil guru dari Sekolah Kebangsaan Padang Garuda, Siti Sarah Kassim.

Sumbangan ini merupakan kali pertama yang diberikan oleh kerajaan negeri kepada semua rakyat yang mempunyai anak tahun 1 di sekolah tanpa mengira latar belakang keluarga.

“Semuanya hasil daripada kecekapan pengurusan kewangan kerajaan negeri. Bukan sahaja diberikan sumbangan untuk pelajar tahun satu, baru-baru ini bantuan banjir, dapat RM500, bantuan warga emas sebelum ni dah dapat. Jadi, duit lebihan kerajaan negeri dipulangkan Kembali kepada rakyat,” katanya.

Beliau turut mengajak hadirin dalam kalangan ibu bapa muda itu untuk sentiasa mengamalkan bacaan doa dari ayat 74 surah al-Furqan untuk dilazimi selepas setiap kali solat. – HARAKAHDAILY 17/4/2021

- Advertisement -