PKP: MAIK benar solat Jumaat, tarawih di masjid

Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz
- Advertisement -

KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) membenarkan solat Jumaat, fardu dan solat tarawih diadakan di masjid dan surau di tujuh jajahan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Namun Yang Dipertua MAIK, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, MAIK membenarkannya dengan bersyarat.

Katanya solat Jumaat, fardu, sunat tarawih dan qiamullail di masjid negeri, bandar dan jajahan dibenarkan dengan kehadiran 70 peratus daripada kapasiti ruang masjid.

- Advertisement -

“Kebenaran solat fardu, tarawih dan Jumaat serta aktiviti pengimarahan masjid di tujuh daerah iaitu Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat, Tanah Merah, Pasir Puteh, Machang dan Bachok mendapat perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V,” katanya.

Pada kenyataan medianya malam tadi kata belau bagi masjid mukim, surau dan musalla pula dibenarkan dengan kehadiran 50 peratus bilangan jemaah mengikut kapasiti ruang solat.

Selain itu semua anggota jemaah perlu mengambil kira penjarakan fizikal satu meter antara jemaah.

“Pada masa yang sama ibadat tarawih boleh dilaksanakan dengan lapan rakaat dengan surah atau ayat pendek dalam tempoh tidak lebih 45 minit, tidak termasuk solat Isyak,” katanya.

Manakala tazkirah tidak dibenarkan sepanjang tempoh ketika solat sunat tarawih.

“Bagaimanapun tazkirah Subuh, Asar dan lain-lain termasuk aktiviti tadarus al-Quran dibenarkan mengikut kapasiti yang ditetapkan dengan tidak melebihi tempoh 45 minit,” ujarnya.

Beliau turut mengumumkan jamuan berbuka puasa, bersahur dan moreh tidak dibenarkan.

Bagaimanapun masjid, surau dan musalla boleh menyediakan menu berbuka, bersahur serta moreh secara bungkus dan diagihkan kepada jemaah untuk dibawa pulang.

Beliau juga berkata, tidak dibenarkan untuk mendapat khidmat imam solat tarawih dan penceramah program Ihya Ramadan daripada luar Kelantan.

Menurutnya jemaah turut digalakkan mengambil wuduk di rumah masing-masing.

Beliau menambah bagi jajahan yang tidak terbabit PKP seperti Gua Musang, Kuala Krai dan Jeli adalah sebagai mana prosedur SOP yang dikeluarkan sebelum ini.

“MAIK amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak terutama umat Islam secara amnya dalam melaksanakan ketetapan SOP sebagaimana yang ditetapkan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 16/4/2021

- Advertisement -