Pedoman Al-Quran: Kuatkan kesabaran dalam menempuh rintangan

- Advertisement -

UMAT Islam hendaklah mendidik diri mereka menjadi umat yang kental keimanan dengan menguatkan kesabaran ketika menghadapi pelbagai mehnah kehidupan. Apatah lagi dalam memperjuangkan Islam, sudah tentu cabaran yang dihadapi terlalu hebat dan boleh jadi terpaksa mengorbankan jiwa raga serta mendapat luka. Dalam hal ini Allah SWT ada berfirman:

- Advertisement -

إِن یَمۡسَسۡكُمۡ قَرۡحࣱ فَقَدۡ مَسَّ ٱلۡقَوۡمَ قَرۡحࣱ مِّثۡلُهُۥۚ وَتِلۡكَ ٱلۡأَیَّامُ نُدَاوِلُهَا بَیۡنَ ٱلنَّاسِ وَلِیَعۡلَمَ ٱللَّهُ ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ وَیَتَّخِذَ مِنكُمۡ شُهَدَاۤءَۗ وَٱللَّهُ لَا یُحِبُّ ٱلظَّـٰلِمِینَ

Maksudnya: “Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka, maka sesungguhnya kaum (musyrik yang mencerobohi kamu) itu telah mendapat luka yang sama (dalam peperangan Badar). Dan demikian itulah keadaan hari-hari, Kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati syahid. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim”. (Ãl-Imran: 140)

Ayat berkenaan menceritakan bahawa umat Islam bersama Nabi SAW pernah ditewaskan dan menelan kepahitan di Uhud dan Nabi SAW sendiri tercedera. Pada hakikatnya, musuh juga pernah kalah dan mendapat luka semasa perang Badar. Begitulah putaran kehidupan, kadang-kadang ada hari kita kuat dan menang dan ada masa kita lemah dan tidak dikurnia kemenangan.

Ayat ini memberi peransang kepada para pendakwah agar bersabar menghadapi segala cabaran yang menimpa mereka di jalan Allah. Umat Islam tidak boleh merasa rendah diri dan mudah lemah semangat serta hanya sedikit bersabar dalam menempuh cabaran daripada pihak musuh. Perlu diketahui bahawa kejayaan sebenar adalah apabila berjaya menghadapi segala tribulasi melanda dengan penuh ketabahan.

Sebagaimana satu kisah kesabaran menakjubkan yang diceritakan dalam sebuah hadis bagaimana Khabbab bin al-Art ketika mengadu kepada Rasulullah SAW agar terus mendoakan supaya Allah terus mendatangkan pertolongan. Lantas Baginda SAW bersabda:

قَدْ كَانَ مَنْ قَبْلَكُمْ، يُؤْخَذُ الرَّجُلُ فَيُحْفَرُ لَهُ فِي الأَرْضِ، فَيُجْعَلُ فِيهَا، فَيُجَاءُ بِالْمِنْشَارِ فَيُوضَعُ عَلَى رَأْسِهِ فَيُجْعَلُ نِصْفَيْنِ، وَيُمْشَطُ بِأَمْشَاطِ الحَدِيدِ، مَا دُونَ لَحْمِهِ وَعَظْمِهِ، فَمَا يَصُدُّهُ ذَلِكَ عَنْ دِينِهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya sebelum daripada kamu, diambil seorang lelaki lalu digali baginya lubang kemudian dihumbankan dia ke dalamnya.Terdapat juga yang didatangkan padanya dengan gergaji lalu gergaji tersebut diletakkan di kepalanya, kemudian digergajikan kepala tersebut sehingga terbelah dua. Ada juga yang dicakar dengan cakaran besi sehingga memisahkan daging dan tulangnya. Ini semua tidak membuat mereka berpaling daripada agamanya (Islam)”. (Riwayat Al-Bukhari)

Hasil tarbiah diri menjadi golongan yang kental keimanan dan kesabarannya, Allah SWT pasti akan menganugerahkan dengan kemenangan atau memilih sebagai syuhada’. Anugerah syahid sebenarnya  adalah kemenangan besar kepada diri umat Islam. Apa yang penting, mereka hendaklah sentiasa menjadi umat yang berani melangkah ke hadapan dan sentiasa bersedia menghadapi pelbagai cabaran mendatang dengan kesabaran.

Buya Hamka ada berkata: “Jangan takut jatuh, kerana yang tidak pernah memanjatlah yang tidak pernah jatuh. Jangan takut gagal, kerana yang tidak pernah gagal hanyalah orang-orang yang tidak pernah melangkah. Jangan takut salah, kerana dengan kesalahan yang pertama kita dapat menambah pengetahuan untuk mencari jalan yang benar pada langkah yang kedua”.

USTAZ DATO’ AHMAD YAKOB
04 Ramadhan 1442/16 April 2021 – HARAKAHDAILY 16/4/2021

- Advertisement -