Kes pukul sebab berpuasa, toleransi Islam diuji

najhan

LAPORAN pemberitaan di akhbar dan media sosial baru-baru ini berkenaan dua orang pengawal peribadi yang dipukul dengan rotan oleh majikan hanya disebabkan mereka berpuasa adalah insiden yang sangat mengejutkan berlaku di negara ini.

Kejadian ini mengimbau tentang apakah perkara yang sama sepertimana yang berlaku terhadap nasib umat Islam minoriti di negara bukan Islam seperti di China, Myanmar dan lain-lain. Ia sewajibnya tidak berlaku perkara sebegini di negara kita. Kejadian berkenaan sebagaimana dilaporkan oleh akhbar menyebut bahawa kedua-dua pengawal peribadi tersebut telah dipukul dan juga dikecam dengan perkara yang melibatkan hal agama Islam. Sudah pasti majikan dan rakannya yang terlibat dalam insiden itu adalah mereka yang bukan beragama Islam dan juga rakyat negara ini.

Apakah sikap golongan bukan Islam berkenaan dan pandangan mereka terhadap umat Islam di negara ini seperti musuh? Adakah umat Islam di sini telah menzalimi dan menganiaya sedemikian rupa kepada mereka hanya kerana mereka tidak beragama Islam? Pernah tak berlaku di negara Malaysia ini disebabkan ajaran dan umat Islam telah menzalimi mereka seperti yang dilakukan terhadap bodyguard berkenaan? Adakah penganut agama selain Islam di negara ini seperti Kristian, Budha, Hindu, Sikh dan lain-lain diperlakukan oleh umat Islam atas nama Islam atau kerana mereka beramal dengan ajaran agama mereka?

Advertisement

Tiada kes sedemikian berlaku di negara Malaysia.

Untungnya rakyat Malaysia yang tidak beragama Islam. Sebenarnya ketiadaan isu berkenaan kezaliman dan penganiayaan terhadap penganut agama selain Islam di negara ini disebabkan ajaran Islam itu sendiri yang mengajar umatnya untuk bertoleransi dan tidak memaksa penganut agama lain mengikut agama Islam. Di samping sikap yang adab budaya orang Melayu dan peribumi yang terkenal dengan sopan dan berhati budi terhadap sesiapa sahaja yang hidup di negara ini.

Ketahuilah bahawasanya umat Islam di Malaysia ini amatlah baik dan sangat menghormati pihak lain. Ajaran Islam telah memberi nilai tambah peribadi yang luhur dan hati budi masyarakat negara ini sehingga menjadikan mereka menerima dan menganggap sesiapa sahaja yang tinggal di negara ini adalah sahabat, rakan, teman, rakyat dan malah dianggap seperti keluarga walaupun mereka berbeza kaum dan juga agama.

Janganlah dirosakkan perpaduan dan keamanan ini atas tolerasi yang telah ditunjukkan oleh umat Islam di Malaysia ini. Hanya dengan perbuatan segelintir dan sekerat golongan bukan Islam terhadap orang Islam samada berpunca kerana kejahilan atau kebencian atau perkara lain bukanlah sepatutnya dikorbankan keamanan dan persaudaraan sesama rakyat negara ini.

Lihatlah bagaimana berlakunya kekacauan dan ketidakstabilan berlaku seperti negara-negara lain disebabkan perbuatan seumpama ini hanya bermula menerusi sikap tiada toleransi dan tidak memahami antara satu dengan yang lain.

Perlembagaan Perkara 3 (1) telah meletakkan satu asas perpaduan dan saling menghormati sebagai tatacara kehidupan kita iaitu agama Islam sebagai Agama Persekutuan dan agama lain dibenarkan beramal dengan aman dan damai. Umat Islam mempunyai hak dari segi perundangan dan sejarah yang lama untuk beramal dengan ajaran Islam dan begitulah pula golongan bukan Islam tidak diganggu dan dihalang untuk mengamalkan ajaran mereka.

Saya menyeru semua pihak untuk bertenang dan selesaikan isu secara aman dan damai. Adapun pihak yang melakukan kesalahan hendaklah diadili dan dihukum sewajarnya sebagai bentuk pengajaran dan iktibar kepada yang lain agar ia tidak lagi berulang.

Justeru, tugas dakwah umat Islam kepada rakan bukan Islam kita masih jauh di negara ini. Islam hendaklah disampaikan kepada mereka agar lebih mengenali ajaran yang indah ini.

Ada hikmah di sebalik kejadian ini bakal menyebabkan golongan bukan Islam insaf dan menaruh simpati serta akhirnya melihat keindahan Islam dengan pengalaman sendiri sekali gus membuka hati mereka untuk bersama dengan agama Islam. Insya-Allah! – HARAKAHDAILY 16/4/2021

Penulis adalah Setiausaha Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor merangkap Pengarah Pilihanraya Dewan Ulamak PAS Pusat.