Iklan raya: Judi solusi mencabar kesucian Islam secara terbuka

- Advertisement -

KEMULIAAN Ramadan yang dibuka seluas-luasnya peluang kepada kita untuk beribadah serta memperbaiki amalan sebaiknya. Keharmoniannya diindahkan melalui pengisian kerohanian bagi mengembalikan manusia mentaati dan menginsafi segala kekhifalan.

Namun, satu sebaran yang telah berlegar melalui media sosial sebuah iklan raya dengan berorientasikan promosi menjadikan judi sebagai solusi untuk keluar dari kemelut ekonomi menjelang hari raya.

Secara jelas dan terang disebutkan nama sebuah portal judi atas talian “BET333” yang dilakonkan oleh beberapa orang muslim ternyata mencabar kesucian Islam.

- Advertisement -

“Cuci semua kemudian raya” seakan membawa satu naratif jalan singkat yang cuba diketengahkan bahkan disebutkan pula “untung nasibmu engkau berjaya” ini secara langsung mempromosikan budaya judi kepada rakyat Malaysia dalam bulan Ramadan ini.

BET333 adalah sebuah potral judi atas talian dikenali dengan “Kasino Online GDBET333: Mobile Betting Live Casino dan Slot Malaysia”.

Berdasarkan Garis Panduan Penerbitan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) diterbitkan oleh Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran, Kementerian Dalam Negeri dalam antara Perkara-perkara yang dilarang berkaitan iklan seperti berikut:
4.3.4 Iklan perjudian, peraduan berunsur judi, promosi dan ramalan judi tidak dibenarkan kecuali penyiaran mengenai keputusannya sahaja.
4.3.10 Iklan yang menyentuh sensitiviti keagamaan, mempersendakan kebudayaan atau pegangan hidup pelbagai kaum dan mengancam nilai-nilai murni serta norma kehidupan masyarakat Malaysia.

Pihak ILMAM PERAK berharap satu tindakan dan siasatan perlu diambil bagi memastikan budaya-budaya mempromosikan judi apatah lagi dalam bulan Ramadan tidak dipandang enteng oleh semua pihak.

Saya optimis, Kerajaan Perikatan Nasional mampu menghalang perbuatan seumpama ini bagi menjaga ketamadunan bangsa dan menghormati agama Islam sebagai agama Persekutuan seperti termaktub dalam Perlembagaan Negara.

ILMAM Perak bersedia berkerjasama dengan mana-mana pihak bagi membasmi kemungkaran ini sekali gus menyelamatkan masyarakat terutamanya anak muda dari terjebak melalui jalan singkat yang akan menjerut diri mereka sendiri.

USTAZ ZULHAFEEZ AHMAD ZAHIDI
Pengerusi
Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Malaysia (ILMAM) Negeri Perak
16 April 2021 / 4 Ramadan 1442 – HARAKAHDAILY 16/4/2021

- Advertisement -