Anak tahan kenderaan, ayah terjun laut selamatkan ibu

Foto daripada Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Pulau Pinang.
- Advertisement -

BUTTERWORTH: Seorang kanak-kanak lelaki bertindak menahan kenderaan di kilometer 1.0 Jambatan Pulau Pinang arah pulau, manakala ayahnya mempertaruhkan nyawa dengan terjun ke laut untuk menyelamatkan ibunya dalam kejadian hari ini.

Dalam kejadian pukul 4.30 petang itu, wanita berusia 45 tahun tersebut, dipercayai terjun ke dalam laut selepas motosikal ditunggang suaminya berhenti di tepi jambatan itu.

- Advertisement -

Suami wanita itu yang terkejut dengan tindakan mangsa, terus bertindak terjun untuk menyelamatkan isterinya, manakala anak mereka berusia 10 tahun menahan kenderaan bagi meminta bantuan, sebelum beberapa penunggang motosikal berhenti dan menghubungi pihak berkuasa.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.40 petang berhubung insiden seorang wanita terjun ke laut, dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai bergegas ke lokasi kejadian, bagi operasi menyelamat.

“Sebaik tiba kami mendapati seorang wanita terjun ke laut dari Jambatan Pulau Pinang, namun dia telah diselamatkan suaminya yang turut terjun ke laut dan dibawa ke tiang 107 jambatan tersebut,” katanya ketika dihubungi malam ini.

Katanya, pihak bomba kemudian turun ke kawasan wanita dan suaminya berada, dengan menggunakan kaedah ‘rappelling’ sebelum memujuk dan menenangkan mangsa serta pasangan tersebut kemudiannya dibawa ke jeti Batu Uban, menggunakan bot nelayan diiringi pasukan polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Shafee Abd Samad mengesahkan kejadian, dan polis masih menjalankan siasatan berhubung punca wanita berkenaan bertindak sedemikian. – BERNAMA

- Advertisement -