Kelantan nasib baik tiada bazar Ramadan

KOTA BHARU: Polis Kelantan menyifatkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di negeri itu agak kurang baik sejak dua hari Ramadan.

Advertisement

“Namun kita beruntung sebab Kelantan tiada bazar Ramadan dan peniaga masih dibenarkan berniaga di tepi jalan.

“Polis juga akan memperketatkan pemantauan pematuhan SOP membabitkan lokasi yang menjalankan perniagaan sempena Ramadan.

“Disebabkan itu saya mengarahkan unit penguatkuasaan supaya memantau dan melihat kepatuhan SOP rakyat di negeri ini,” kata Ketua Polis Kelantan Dato’ Shafien Mamat.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas selepas pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di tujuh jajahan di Kelantan bermula tengah malam ini.

Sidang media itu diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan.

Semalam Menteri Kanan (Pertahanan) Dato’ Seri Ismail Sabri Yaacob mengumumkan kerajaan bersetuju melaksanakan PKP di tujuh jajahan di Kelantan bermula 16 hingga 29 April.

Tujuh jajahan terbabit iaitu Kota Bharu, Pasir Mas, Pasir Puteh, Bachok, Machang, Tumpat dan Tanah Merah.

Menurutnya pelaksanaan PKP dibuat ekoran berlaku peningkatan kes mendadak dan atas persetujuan kerajaan Kelantan.

Shafien juga berkata, PDRM akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengadakan operasi di tempat menjual juadah berbuka.

“Harapan saya dalam kita menyambut Ramadan dan mencari juadah berbuka, marilah kita sama-mata patuhi SOP,” katanya.

Beliau juga berkata, sebanyak 13 lokasi sekatan jalan raya (SJR) akan dibina bermula malam ini susulan tujuh daerah dikenakan PKP.

Selain itu PDRM akan menutup semua jalan yang dianggap sebagai laluan tikus bagi membatas pergerakan antara daerah.

“Yang kita ada sekarang empat sekatan jalan di sempadan negeri dan bermula malam ini kita akan tambah lagi 13 lokasi sekatan jalan di sempadan daerah yang dikenakan PKP.

“Semua kawasan sempadan daerah ada sekatan jalan, sementara empat lokasi yang sedia ada itu kekal, sempadan negeri. Pendekatan kali ini kita lakukan untuk menutup semua laluan tikus,” katanya.

Shafien turut menasihat masyarakat supaya mematuhi sepenuhnya SOP PKP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya juga pelaksanaan PKP menyebabkan aktiviti rentas daerah tidak dibenarkan melainkan mendapat kelulusan polis. – HARAKAHDAILY 15/4/2021