Gila bukan disengajakan terlepas taklif syarak

- Advertisement -

Syarat wajib puasa

Islam

Kewajipan puasa Ramadan hanyalah atas orang yang Islam sahaja. Orang yang bukan Islam tidak diwajibkan mengerjakan puasa Ramadan di dalam dunia dan mereka tidak dikenakan hukuman apabila meninggalkan kewajipan puasa di dunia ini.

Ertinya jika orang bukan islam itu tinggal di dalam negara umat Islam, maka dia tidak dikenakan hukuman kerana meninggalkan puasa sebagaimana dikenakan hukuman ke atas orang Islam yang tidak berpuasa.

Tetapi di akhirat nanti orang yang bukan Islam turut disoal atas segala kewajipan yang mereka tinggalkan seperti sembahyang, puasa dan lain-lain menurut pendapat jumhur ulamak. Dan mereka akan diazab atas setiap kewajipan yang mereka tinggalkan itu dari kerana mereka boleh melakukannya apabila mereka memeluk Islam.

- Advertisement -

Menyebut oleh Dr Wahbah Az-Zuahili:

وعند الجمهور: الكفار مخاطبون بفروع الشريعة في حال كفرهم بمعنى أنه يجب عليهم الإسلام، ثم الصوم، إذ لا يصح الصوم لأنه عبادة بدنية محضة تفتقر إلى النية، فكان من شرطه الإسلام كالصلاة، ويزاد في عقوبتهم في الآخرة بسبب ذلك؛، ولكن لا يطالبون بفعلها في حال كفرهم، فتنحصر ثمرة الخلاف في مضاعفة العذاب في الآخرة

Ertinya: “Dan pada sisi jumhur ulamak sekalian orang kafir dihadapkan dengan perintah segala furu’ syariat pada ketika kufur mereka itu dengan makna wajib atas mereka memeluk Islam kemudian melakukan ibadah puasa dari kerana sungguhnya tidak sah puasa ketika kufur kerana puasa adalah ibadah yang bangsa tubuh badan yang berhajat kepada berniat maka jadilah syaratnya seperti Islam dan sembahyang. Dan ditambah akan azab mereka pada akhirat sebab yang demikian itu akan tetapi tidaklah dituntut mengerjakan puasa itu dalam keadaan mereka kafir. Maka tersimpanlah hasil perselisihan itu pada bergandanya azab pada akhirat.” (Kitab Al-Fiqh Al-Islami)

Jika orang bukan Islam mengerjakan ibadah puasa ketika di dunia nescaya puasa mereka tidak sah dan tidak diterima kerana kekafiran mereka.

Begitu juga segala amal soleh yang lain yang dikerjakan oleh orang bukan Islam ketika hidup kerana Allah tidak sesekali menerima amalan orang-orang yang tidak beriman.

Firman Allah:

وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآَخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ

Ertinya: “Dan siapa yang mencari agama selain Islam maka tidak akan diterima daripadanya. Dan adalah dia di akhirat nanti termasuk orang-orang yang sangat rugi.” (‘Ali-Imran: 85)

Demikian lagi tidak sah puasa yang dikerjakan oleh orang Arab atau Melayu atau lainnya yang tidak Islam. Kerana makna Islam ialah agama seseorang itu bukannya bangsa seseorang.

Jika orang Melayu yang tidak beriman atau orang Melayu yang murtad maka tidak termasuk dalam kalangan orang yang Islam. Maka puasa mereka tidak akan diterima oleh Allah.

Akhir-akhir ini wujud ramai orang yang hanya mengaku beragama Islam tetapi hakikatnya mereka bukan lagi beragama Islam kerana telah melakukan pelbagai perbuatan dan amalan yang menjadikan mereka terkeluar dari Islam sama ada dengan sedar atau tanpa sedar.

Antara sebab yang mengeluarkan seseorang dari agama Islam ialah berkata dengan perkataan yang mengkafirkan seperti mempersendakan Allah atau Rasulullah SAW atau memperlekehkan hukum Quran atau menolak hadis sebagai sumber hukum atau menghina anak isteri Rasulullah atau menghalalkan yang haram seperti menghalalkan hubungan seks sejenis atau seumpamanya.

Maka semua contoh ini apabila diucapkan atau dilakukan oleh orang Islam dalam keadaan sedar dan tidak ada paksaan maka jadilah orang yang berkata itu keluar dari agama Islam secara automatik sama ada dia bersetuju atau tidak.

Jika mereka berpuasa sekalipun tetap tidak akan diterima dan amalan mereka itu tidak akan ditulis dan tidak ada manfaat sedikit pun dan di akhirat nanti mereka kekal di dalam neraka selama-lamanya.

Firman Allah:

وَمَنْ يَرْتَدِدْ مِنْكُمْ عَنْ دِينِهِ فَيَمُتْ وَهُوَ كَافِرٌ فَأُولَئِكَ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فِي الدُّنْيَا وَالْآَخِرَةِ وَأُولَئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

Ertinya: “Sesiapa yang murtad daripada kamu dari agamanya kemudian ia mati sedangkan dia kafir maka mereka itulah yang sia-sia segala amalan mereka di dunia dan di akhirat. Mereka itulah penghuni neraka dan mereka akan kekal di dalam neraka.” (Al-Baqarah: 217)

Jika seorang yang kafir memeluk Islam pada pertengahan bulan Ramadan maka wajib dia berpuasa pada baki bulan Ramadan dan tidak wajib atasnya qada akan hari-hari Ramadan yang lepas dengan iktifak ulamak.

Contohnya orang yang kafir memeluk Islam pada 15 hari bulan Ramadan, maka wajib dia berpuasa akan 15 hari yang tinggal lagi dari bulan Ramadan tersebut.

Firman Allah Taala:

قُل لِّلَّذِينَ كَفَرُوا إِن يَنتَهُوا يُغْفَرْ لَهُم مَّا قَدْ سَلَفَ

Ertinya: “Katakanlah bagi segala orang-orang kafir itu jika mereka berhenti dari kekafiran mereka itu nescaya diampunkan bagi mereka akan apa yang telah lalu.” (Al-Anfal: 38)

Dan pada masalah masuk Islam oleh seorang kafir pada siang hari Ramadan maka sunat atasnya imsak yakni menahan diri dari makan minum sehingga waktu berbuka di sisi jumhur ulamak kerana meraikan waktu puasa dan tidak wajib dia qada akan puasa pada hari tersebut.

Baligh

Puasa Ramadan diwajibkan ke atas kanak-kanak yang telah baligh ertinya sampai usia seseorang memikul perintah-perintah syarak, oleh itu jika malamnya dia telah berniat puasa kemudian pada esoknya kanak-kanak tersebut telah baligh nescaya wajib dia imsak yakni meneruskan berpuasa kerana dia telah menjadi seorang yang diwajibkan berpuasa.

Kanak-kanak yang belum baligh tidak wajib atasnya berpuasa akan tetapi wajib atas penjaganya menyuruhnya berpuasa ketika sampai usia kanak-kanak itu tujuh tahun kerana melatihnya supaya terbiasa dengan berpuasa apabila dia baligh nanti.

Berkata Syeikh Al-Qalyubi:

فَلَا يَجِبُ عَلَى الصَّبِيِّ وَالْمَجْنُونِ لِعَدَمِ تَكْلِيفِهِمَا

Ertinya: “Maka tidak wajib oleh puasa atas kanak-kanak dan orang gila kerana ketiadaan mukallaf keduanya itu.” (Kitab Hasyiah Al-Qalyubi Wa ‘Umairah)

Jika kanak-kanak itu menjadi baligh ketika siang hari Ramadhan nescaya tidak wajib atasnya qada puasa pada hari itu menurut pendapat yang paling sahih.

Berkata Syeikh Khatib As-Syarbini:

(وَلَوْ بَلَغَ) الصَّبِيُّ، (فِيهِ) أَيْ النَّهَارِ (مُفْطِرًا أَوْ أَفَاقَ) الْمَجْنُونُ فِيهِ (أَوْ أَسْلَمَ) الْكَافِرُ فِيهِ (فَلَا قَضَاءَ) عَلَيْهِمْ (فِي الْأَصَحِّ) لِعَدَمِ التَّمَكُّنِ مِنْ زَمَنٍ يَسَعُ الْأَدَاءَ

Ertinya: “Dan kalau kanak-kanak menjadi baligh pada siang hari Ramadan dalam keadaan tidak berpuasa atau jadi siuman orang yang gila atau masuk Islam seorang kafir maka tidak wajib qada atas mereka menurut pendapat yang asah kerana ketiadaan mendapat akan masa yang lulus bagi menunaikan puasa.” (Kitab Mughni Al-Muhtaj)

Tanda baligh bagi kanak-kanak lelaki dan kanak-kanak perempuan ialah keluar mani dan tanda baligh bagi kanak-kanak perempuan sahaja ialah keluar darah haid dan umur yang paling awal berlaku keluar mani dan haid ialah ketika umur mereka sembilan tahun.

Berkata Al-Hafiz Al-Imam Al-Asqalani:

وقد أجمع العلماء على أن الحيض بلوغ في حق النساء

Ertinya: “Dan sungguhnya telah ijmak oleh para ulamak atas bahawa keluar haid ialah tanda baligh bagi kaum wanita.” (Kitab Fathul Baari)

Dan jika kanak-kanak lelaki tidak keluar mani dan kanak-kanak perempuan tidak keluar darah haid maka had baligh kedua-duanya ialah apabila sampai umur keduanya lima belas tahun.

Kanak-kanak yang belum baligh tidak wajib atasnya mengerjakan ibadah puasa tetapi wajib dilatih mereka untuk melakukan amalan yang wajib seperti sembahyang dan puasa dan menutup aurat apabila umur mereka genap tujuh tahun.

Berkata Syeikh Al-Qalyubi:

(وَيُؤْمَرُ بِهِ الصَّبِيُّ لِسَبْعٍ إذَا أَطَاقَ) وَفِي الْمُهَذَّبِ وَيُضْرَبُ عَلَى تَرْكِهِ لِعَشْرٍ قِيَاسًا عَلَى الصَّلَاةِ، وَفِي شَرْحِهِ: يَجِبُ عَلَى الْوَلِيِّ أَنْ يَأْمُرَهُ بِهِ وَيَضْرِبَهُ عَلَى تَرْكِهِ ثُمَّ قَالَ: وَلَا يَصِحُّ صَوْمُهُ إلَّا بِنِيَّةٍ مِنْ اللَّيْلِ

Ertinya: “Dan diperintahkan dengan berpuasa akan kanak-kanak ketika usia tujuh tahun apabila kanak-kanak itu mampu dan tersebut pada Kitab Al-Muhazzab: Harus dipukul akan kanak-kanak atas sebab meninggalkan puasa ketika usianya sepuluh tahun kerana dikiaskan atas sembahyang. Dan tersebut pada Kitab Syarah Al-Muhazzab: Wajib atas penjaganya bahawa menyuruh kanak-kanak dengan berpuasa dia dipukulnya atas meningglkan puasa kemudian berkata: Dan tiada sah puasa kanak-kanak itu kecuali dengan berniat pada malamnya.” (Kitab Hasyiah Al-Qalyubi Wa ‘Umairah)

Berakal

Tidak wajib puasa atas orang yang tidak mempunyai akal seperti orang gila.

Sada Rasulullah SAW:

وعن المجنون حتى يفيق

Ertinya: “Tidak ditulis dosa dan pahala ke atas orang yang gila sampailah ia siuman.” (Hadis Turmizi & Ibnu Majah)

Orang gila tidak akan ditanya di akhirat nanti tentang puasanya dan lain-lain kewajipan dan tidak akan diazab dengan syarat bukan gila yang berpunca dari perbuatan dirinya.

Gila yang terlepas dari taklif syarak ini ialah gila yang bukan disengajakan atau dari usaha dirinya seperti gila keturunan dan seumpamanya.

Adapun jika gila itu terjadi sebab disengajakan seperti seorang yang menghidu gam atau menghisap dadah atau seumpamanya lalu menjadi gila maka dia bertanggungjawab atas semua amal wajib yang dia tinggalkan ketika dia menjadi gila dan diazab kerana meninggalkan amalan yang diwajibkan ke atasnya.

Berkata Syeikh Ibnu Hajar:

فَلَا يَجِبُ عَلَى صَبِيٍّ وَمَجْنُونٍ لِرَفْعِ الْقَلَمِ عَنْهُمَا وَيَجِبُ عَلَى السَّكْرَانِ الْمُتَعَدِّي

Ertinya: “Maka tiada wajib puasa atas kanak-kanak dan orang gila kerana tidak ditulis segala amalan keduanya dan wajib puasa atas orang yang mabuk (hilang akal) yang sengaja.” (Kitab Tuhfatul Muhtaj)

Yang dimaksudkan mabuk dengan sengaja ialah minum arak atau hisap dadah lalu hilang akalnya maka tidak diberi kelonggaran oleh syarak ke atasnya meninggalkan kewajipan syarak sebagaimana dimaafkan ke atas orang yang tidak berakal sebab masih kecil atau gila.

Orang yang hilang akal sebab pengsan maka jika dia telah berniat pada malamnya lalu pada siang hari puasanya dia telah pengsan bukan sepanjang hari maka puasanya adalah sah. Tetapi jika dia pengsan dari awal hari sampai ke waktu berbuka maka puasanya tidak sah menurut pendapat yang paling kuat.

Orang yang tidur sepanjang hari adalah sah puasanya tetapi makruh perbuatannya itu.

Adapun tidur yang sekejap maka tidak makruh hukumnya.

Oleh itu, barang siapa yang gugur daripadanya salah satu dari dua syarat ini iaitu berakal dan baligh nescaya gugur daripadanya taklif syarak.

Berkata Dr Mustafa Al-Bugha:

ويقصد بالتكليف أن يكون المسلم بالغاً عاقلاً، فإن فقد أحد هذين الوصفين سقطت صفة التكليف عنه، وإذا سقطت صفة التكليف عنه لم يطالب بشيء من الوظائف الدينية.

ودليل ذلك: حديث علي – رضي الله عنه – عن النبي – صلى الله عليه وسلم – قال: ” رفع القلم عن ثلاثة: عن النائم حتى يستيقظ، وعن الصبي حتى يحتلم، وعن المجنون حتى يعقل ” رواه أبوداود (4403) وغيره.

Ertinya: “Yang dimaksudkan dengan taklif syarak itu ialah bahawa adalah orang Islam itu telah baligh dan berakal. Maka jika ketiadaan salah satu dari dua sifat ini nescaya gugurlah sifat taklif daripadanya. Dan apabila telah gugur sifat taklif daripadanya nescaya tidak dituntut akan dia dengan suatu dari pekerjaan agama. Dan bermula dalil yang demikian itu ialah hadis Ali r.a. daripada Nabi SAW bersabda: Diangkat qalam yakni tidak ditulis amalan dari tiga golongan iaitu dari orang tidur sehingga dia jaga dan dari kanak-kanak sehingga dia baligh dan daripada orang gila hingga dia siuman. Hadis riwayat Abu Daud dan lainnya.” (Kitab Al-Fiqh Al-Manhaji)

Berkemampuan

Tidak diwajibkan berpuasa ke atas orang yang tidak mempunyai kemampuan sama ada sebab sangat tua atau sakit yang berat.

Firman Allah Taala:

وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ

Ertinya: “Dan atas orang-orang yang tidak mempunyai kemampuan berpuasa (harus dia tidak berpuasa dan) memberi fidyah makanan kepada orang miskin.” (Al-Baqarah: 184)

Berkata Syeikh Ad-Damiri:

فالعاجز بكبر أو مرض لا يلزمه الصوم، بمعنى: أنه لا يتحتم عليه

Ertinya: “Maka orang yang lemah dengan sebab terlalu tua atau sakit tidak wajib ia berpuasa dengan makna tidak ada kemestian atasnya.” (Kitab An-Najm Al-Wahhaj Syarah Al-Minhaj)

Akan tetapi jika orang yang lemah sama ada sebab terlalu tua atau sakit itu berpuasa juga maka puasanya adalah sah.

Wallahua’lam. – HARAKAHDAILY 15/4/2021

Rencana berkaitan : Kenapa dinamakan sebagai bulan Ramadan

- Advertisement -