Usul undi tidak percaya di Dun Kelantan 1977

Keratan akhbar mengenai darurat 1977.
- Advertisement -

APABILA Mohd Asri Muda mengambil alih jawatan tersebut daripada birasnya kawasan-kawasan parlimen yang dahulunya didominasi Umno telah diresapi oleh pengaruh PAS. (Hussein Onn 1977)

Hal ini telah menimbulkan hubungan yang kurang mesra di antara kedua-dua parti itu ibarat “retak menunggu belah”. (Utusan Malaysia, 18 Disember 1977)

Persaingan politik dalaman kepimpinan PAS berlaku pada tahun 1977, di antara dua puak iaitu puak Mohd Asri Muda dan puak Mohammad Nasir.

Puak Mohd Asri Muda ingin menyingkirkan Mohammad Nasir daripada jawatan Menteri Besar Kelantan kerana beliau dikatakan bertindak bertentangan dengan dasar perjuangan parti tersebut.

- Advertisement -

Menurut penyata rasmi Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 29 November 1971 (hlm. 107), Mohammad Nasir kemudian bertindak mendedahkan kepada umum berkenaan dengan pemberian konsesi tanah, perlombongan, dan kayu balak ‘ala-Duff ’ kepada beberapa syarikat Cina yang berpengkalan di Kuala Lumpur. (Dinamika Politik Kelantan 1970-1990: 91)

Pendedahan Mohammad Nasir itu seperti peluru politik kepada Umno Kelantan untuk melepaskan tembakan terhadap kepimpinan PAS negeri itu.

Pendedahan Mohammad Nasir secara tidak langsung telah menyebabkan berlakunya demonstrasi besar-besaran di Kota Bharu pada 24 September 1977. (Arif Budiman 1978: 30-33)

Demonstrasi tersebut adalah bantahan terhadap “Kumpulan 20” yang dianggotai oleh Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri PAS yang cuba menyingkirkan Mohammad Nasir sebagai Menteri Besar Kelantan melalui usul undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri Kelantan.

Usul undi yang dihadapkan kepada Mohammad Nasir oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Simpangan, Hussin Abdullah dan disokong oleh Adun Bandar Pasir Mas, Hashim Omar dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan.

Persidangan itu diadakan pada 10 Oktober 1977 telah diluluskan dengan 20 undi menyokong dan 16 undi menentang. (Warta Kerajaan Negeri Kelantan, 16 Februari 1978)

Usul tersebut telah mencetuskan tunjuk perasaan yang dikatakan disertai ‘seramai 80,000 orang’ dipimpin oleh Ibrahim Ali pada pagi 24 September 1977.

Para penunjuk perasaan menyokong kepimpinan Menteri Besar Kelantan, Mohammad Nasir dan telah bertindak liar dengan membaling batu ke arah kedai-kedai, membakar tayar, menyerang bangunan Dewan Undangan Negeri dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) sehingga memaksa Polis Simpanan Persekutuan (FRU) bertindak melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan para perusuh tersebut.

Situasi ini seterusnya memaksa Kerajaan Persekutuan mengadakan perintah berkurung 24 jam yang meliputi beberapa kawasan tertentu dalam Daerah Polis Kota Bharu. (Warta Kerajaan Negeri Kelantan, 10 November 1977; Utusan Malaysia, 23 Oktober 1977)

Dalam memulihkan semula keamanan di Kelantan, Perdana Menteri Malaysia, Hussein Onn mengambil kesempatan dengan membentangkan Usul Rang Undang-Undang Kuasa-Kuasa Darurat 1977 di Dewan Rakyat pada 8 November 1977, jam 3 petang.

Usul Rang Undang-Undang Kuasa Darurat Kelantan 1977 itu diluluskan dengan 118 undi menyokong dan 18 undi menentang (Dinamika Politik Kelantan 1970-1990 93), (Penyata Parlimen 8 November 1977: 1635-1638).

Penentangan 11 Ahli Parlimen Parti Islam SeMalaysia (PAS) terhadap Usul Rang Undang-Undang tersebut telah menyebabkan berlakunya penyingkiran PAS daripada gabungan Barisan Nasional berdasarkan Fasal 14 Perlembagaan Barisan Nasional.

Penyingkiran tersebut dibuat dengan alasan PAS enggan menyokong Rang Undang-Undang Darurat Kelantan untuk meletakkan Kelantan di bawah pemerintahan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) selama 96 hari dengan pentadbiran Pengarah Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab terus kepada Jabatan Perdana Menteri di Kuala Lumpur berdasarkan Akta Kuasa-Kuasa Darurat (Kelantan), 1977, Seksyen 4 (Warta Kerajaan Persekutuan, 8 November 1977, Akta Kuasa-Kuasa Darurat (Kelantan) 1977. Seksyen 4; Utusan Malaysia, 12 November 1977).

Apabila pemerintahan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) ditarik balik atau dibubarkan, suatu Pilihan Raya Dewan Negeri Kelantan telah dilangsungkan pada 11 Mac 1978.

Pilihan raya yang diadakan berasingan dengan Pilihan Raya Umum 1978 telah mengakibatkan PAS kehilangan negeri Kelantan.

PAS telah kehilangan ‘tiang seri’ kepada perjuangan apabila parti itu mengalami kekalahan paling teruk, dengan hanya memenangi dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Dewan Undangan Negeri Kawasan Sering dan Manek Urai.

Kekalahan tersebut menyebabkan PAS terpaksa menyerahkan kekuasaan kepada Umno yang dipimpin oleh Tengku Razaleigh Hamzah di bawah Kerajaan Barisan Nasional Pimpinan Umno (1978-1990).

Kekalahan PAS dan pembentukan Kerajaan Barisan Nasional-Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) selepas Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Kelantan 1978, memberikan peluang kepada Adun Lanas, Mohammad Yaacob menjadi Menteri Besar Kelantan, dan Adun Gual Periok, Hussein Ahmad sebagai Timbalan Menteri Besar Kelantan.

Walau bagaimanapun pentadbiran Mohammad Yaacob sebagai Menteri Besar telah dibayangi oleh kepimpinan Tengku Razaleigh Hamzah yang dianggap sebagai penentu kuasa sebenar dalam politik Kerajaan Barisan Nasional Kelantan.

Situasi ini berlarutan sehingga tahun 1984, apabila Tengku Razaleigh Hamzah disingkirkan daripada Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan dan Pengerusi Barisan Nasional Kelantan.

Penyingkiran itu menyebabkan politik Kerajaan Barisan Nasional Kelantan semakin menuju kepada kemerosotan kerana kepimpinan Mohamad Yaacob tidak mempunyai daya dan karisma untuk memenangi hati dan minda masyarakat Kelantan.

Walaupun Pilihan Raya Umum 1986 menyaksikan Kerajaan Barisan Nasional mengekalkan pemerintahannya di Kelantan, namun begitu jangka hayat politik Kerajaan Barisan Nasional pimpinan Mohamad Yaacob menghadapi masalah dalaman yang paling serius, apabila Tengku Razaleigh menentang Dr Mahathir Mohamad dalam perebutan jawatan Presiden Umno Malaysia pada tahun 1987. – HARAKAHDAILY 14/4/2021

(Bersambung)

Penulis ialah sarjana sejarah lepasan UKM. Sekarang bertugas sebagai Penggawa Daerah Semerak Pasir Puteh.

- Advertisement -