KUALA KRAI: Perkhidmatan Kereta Api Tanah Melayu Bhd (KTMB) menjadi nadi penting bagi penduduk di hulu Kelantan sejak dahulu sehingga sekarang.
Malah ia menjadi pengangkutan utama bagi pelajar-pelajar dan guru untuk datang ke sekolah di Kemubu, Bertam, Dabong, Kuala Gris dan Bukit Abu.
Gerabak KTMB yang digunakan di Pantai Timur sebelum ini dianggap jauh ketinggalan berbanding sektor perkhidmatan di pantai barat Semenanjung.
Tren lama mengalami perubahan yang begitu berlahan tidak memadai dengan peredaran zaman. Kecuali yang agak selesa bagi tren Ekspres Wau dan Ekspres Rakyat Timur yang pernah ada sebelum ini.
Bagaimanapun selepas berlaku banjir besar di Kelantan pada 2014, perkhidmatan Ekspres Wau dari Kuala Lumpur ke Tumpat tiada lagi.
KTMB sebelum ini menjelaskan banjir yang melanda Pantai Timur pada akhir 2014 mengakibatkan operasi tren KTMB terhenti.
Malah di Kemubu jambatan kereta api yang dibina sejak zaman penjajah runtuh akibat arus sungai yang begitu kuat.
Selain itu banyak stesen kereta api termasuk di Manek Urai dan Limau Kasturi roboh dan hanya tinggal tapak.
Bagaimanapun segala ingauan lama kini hanya menjadi catatan sejarah apabila KTMB memperkenalkan Tren Diesel Multiple Unit (DMU) mulai Ahad lepas.
Tren baharu jauh lebih selesa dan dilengkapi teknologi baharu.
Ahli parlimen Kuala Krai Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman berkata, Tren DMU yang menggantikan lokomotif dan koc penumpang mampu merancakkan sektor ekonomi di kawasan Pantai Timur.
Selain itu katanya membantu merancakkan lagi industri pelancongan di Kelantan.
“Tren ini lebih baik, selesa dan canggih berbanding tren konvensional. Terdapat tempat simpan beg, ada soket kuasa, bilik solat, tandas dan lebih mesra orang kelainan upaya (OKU).
“Kerusinya juga cukup selesa. Saya menerima surat jemputan Kementerian Pengangkutan pada pelancaran DMU dilakukan menterinya Dato’ Seri Ir Dr Wee Ka Siong.
“Saya turut menaiki DMU dari Wakaf Bharu Ke Pasir Mas bersama Menteri Pengangkutan dan Timbalan Menteri Pengangkutan Dato’ Hasbi Habibollah serta anggota Exco kerajaan negeri,” katanya.
Buat permulaan lima daripada 13 DMU memulakan operasi melibatkan jajaran Pantai Timur bagi sektor laluan Tumpat-Gua Musang dan Gua Musang-Kuala Lipis.
Tren DMU bernilai RM380 juta menggantikan perkhidmatan tren diesel konvensional KTM Intercity. – HARAKAHDAILY 14/4/2021