PSR: Tunda kerja tambakan bukti ‘motivasi palsu’

Kerajaan DAP terpaksa umum sedemikian, sedangkan tidak menerima kelulusan kebolehlaksanaan projek

- Advertisement -

PENUNDAAN kerja tambakan laut projek Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) hanyalah gimik politik Kerajaan DAP Pulau Pinang. Hakikatnya ia sebahagian motivasi palsu untuk dijadikan desakan agar perancangan projek ini diteruskan ke peringkat seterusnya. Juga untuk ‘mengepung’ para pelabur dari lari meninggalkan PSR.

Walhal, sehingga kini kajian-kajian kebolehlaksanaan gagal memenuhi ketetapan dan tidak menerima kelulusan untuk pelaksanaan sebarang kerja berkaitan. Bukan setakat kelulusan daripada pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS), PSR juga tidak memenuhi syarat-syarat Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN).

- Advertisement -

Malah, banyak kelulusan belum diperolehi itu juga bakal berdepan tamat tempoh yang menuntut pihak Kerajaan Pulau Pinang bersama para kontraktor pemaju terlibat mengadakannya semula. Bahkan terdahulu ‘motivasi palsu’ ini ditunjukkan dengan beberapa cara termasuk ‘menjenamakan’ PSR sebagai Pulau Selatan Pulau Pinang (PSI).

Juga pihak kerajaan terpaksa menunjukkan sikap degil dan keras kepala usaha memujuk rayu para nelayan khususnya gagal walaupun cuba bersikap lunak bersama pelbagai ‘gula-gula’ kononnya. Tetapi akhirnya kerajaan sendiri ‘melanggar’ pendirian dan rayuan para nelayan, sekali gus menyerlahkan pertentangan dua pihak.

Apapun, penundaan ini hanyalah usaha terawang-awangan, sebaliknya lokasi yang kini dilihat sebagai perairan penuh dengan sumber perikanan mesti terus dikekalkan pemeliharaan dan pemuliharaan kelestariannya. Ini bukan demi kepentingan sekelompok kecil golongan nelayan, tetapi masa depan bersama.

Di tapak cadangan PSR ini bukan sahaja mewah dengan khazanah alam semulajadi sumber perikanan untuk pendapatan nelayan, tetapi juga makanan keperluan rakyat kebanyakan. Juga kepentingan kawalan perubahan iklim sepertimana yang disebut Setiausaha DAP, Lim Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang.

Atau apakah sebenarnya PSR atau PSI ini bakal menjadi bukti hipokrit DAP? PAS konsisten tiada PSR, ia mesti dibatalkan, bukan ditunda. Tiada keperluan mendesak untuknya, malah Kerajaan DAP Pulau Pinang patut kembali ke perancangan iaitu untuk menyelesaikan isu kelancaran trafik Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) versi asal.

ISZUREE IBRAHIM
Setiausaha 
Badan Perhubungan PAS Negeri Pulau Pinang – HARAKAHDAILY 14/4/2021

- Advertisement -