Potong gaji berkala perkasa peranan wakaf

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kira-kira 1.6 juta penjawat awam diminta melibatkan diri dalam sumbangan wakaf tunai melalui potongan gaji secara berkala dan sukarela bagi memperkasakan lagi peranan wakaf dalam pembangunan sosial serta ekonomi negara.

- Advertisement -

Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Idris Ahmad, berkata pembabitan penjawat awam itu dapat mengukuhkan peranan wakaf sebagai salah satu elemen penting yang mampu membantu meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat tanpa mengira agama dan bangsa.

Katanya, langkah kerajaan meluluskan Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2020 bagi tujuan itu bagi penjawat awam yang berkhidmat di Persekutuan dan Negeri menjadi kemudahan yang perlu dimanfaatkan oleh mereka.

Ujarnya, kempen wakaf juga boleh dilakukan secara berperingkat.

“Wakaf dalam bentuk wakaf tunai, kita boleh beli untuk selamatkan tanah orang-orang Islam daripada tergadai kepada pihak lain atau dapat membeli hartanah di tempat yang strategik.

“Ini satu tindakan yang baik kalau peranan wakaf memainkan peranannya,” ujarnya lagi.

Selain itu cadangnya, wakaf juga boleh membantu kepada pembangunan prasarana untuk kemudahan rakyat seperti kemudahan air, sekolah dan jalan raya.

“Universiti Al-Azhar merupakan salah satu pusat pendidikan yang dibiayai dengan harta wakaf serta yuran pengajiannya yang paling rendah di dunia.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melancarkan Bulan Wakaf Kebangsaan Tahun 2021, berkata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali sudah meluluskan Pekeliling Am Bil. 1 Tahun 2020 Tatacara Pelaksanaan Sumbangan Wakaf Tunai Melalui Potongan Gaji Secara Sukarela Bagi Pegawai Awam Yang Berkhidmat Di Wilayah Persekutuan Dan Negeri melalui kod 4474.

Justeru, beliau berkata, Ketua Setiausaha Kementerian, ketua jabatan serta agensi di peringkat Persekutuan perlu merangka inisiatif bagi menggalakkan pegawai dan kakitangannya untuk berwakaf secara tunai, terutamanya secara berkala melalui potongan gaji. – HARAKAHDAILY 14/4/2021

- Advertisement -