Pelaksanaan wakaf boleh diperluas kepada GLC

- Advertisement -

IPOH: Inisiatif kerajaan untuk menggalakkan penjawat awam berwakaf melalui potongan gaji bagi meningkatkan tabungan dana dan aset wakaf negara boleh diperluas kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

- Advertisement -

Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata inisiatif yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam merupakan satu perkara yang perlu diambil perhatian oleh pelbagai pihak kerana mampu memberi impak positif kepada ekonomi negara.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata bagaimanapun inisiatif tersebut perlu diperhalusi dan dibincangkan dengan pihak berkaitan kerana golongan penjawat awam mempunyai pelbagai kategori.

“Ada yang okay (penjawat awam) ada yang tidak begitu okay dari segi gaji mereka, mana gaji lebih itu bolehlah (wakaf), yang cukup-cukup makan mungkin tak mampu. Jadi perlu mengikut kemampuan setiap pegawai penjawat awam.

“Pelaksanaan wakaf boleh libatkan GLC juga kerana kami pun milik kerajaan. Elaun (sebagai pengerusi) bolehlah beri (wakaf) sedikit, tak ada hal,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sijil Kolaborasi Kerjasama Pintar TAJ International College bersama tujuh agensi kerajaan yang dirasmikan Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin di sini, hari ini.

Semalam, Muhyiddin ketika melancarkan Bulan Wakaf Kebangsaan Tahun 2021 berkata bagi meningkatkan tabungan dana dan aset wakaf negara, satu inisiatif perlu dirangka di peringkat kerajaan persekutuan untuk menggalakkan penjawat awam berwakaf. – BERNAMA

- Advertisement -