Manfaat Ramadan yang jarang disedari

RAMADAN tiba lagi. Satu bulan yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam kerana terdapat tawaran-tawaran yang disediakan oleh Allah S.W.T yang tidak sepatutnya diabaikan. Bagi umat hari ini yang umurnya lebih pendek dari umat-umat sebelum ini, Ramadan merupakan satu peluang untuk mempersiapkan diri sebelum bertemu dengan Allah S.W.T di akhirat kelak.

Berpuasa memberi manfaat-manfaat kepada kesihatan kita. Ia memberi peluang kepada tubuh kita untuk direhatkan setelah bekerja keras sepanjang tahun. Detoksifikasi berlaku apabila kita berpuasa. Badan kita akan dibersihkan dari racun dan toksin. Ketika berpuasa organ-organ kita dapat berehat dan ini membantu ia membuang segala kotoran dan toksin dari badan di samping menyegarkan sel-sel.

Advertisement

Walau bagaimanapun Ramadan juga memberi manfaat bukan sahaja kepada individu tetapi juga kepada masyarakat malah alam sekitar. Pada bulan Ramadan masyarakat yang jarang bertemu akan bertemu. Solat Tarawih yang didirikan setiap malam secara berjamaah merupakan satu peluang untuk merapatkan hubungan di kalangan anggota masyarakat.

Pada bulan-bulan yang lain, umat Islam mungkin hanya bertemu pada masa yang singkat ketika solat-solat fardhu berjamaah. Selepas bekerja seharian mereka akan mengerjakan solat Maghrib dan Isyak berjamaah yang mungkin hanya mengambil masa 15 hingga 20 minit untuk setiap waktu. Walau bagaimanapun pada bulan Ramadan, mereka akan bertemu lebih lama ketika solat Tarawih. Mungkin hampir 1 jam. Malah lebih lama jika mereka bertadarus bersama. Justeru itu Ramadan dapat mengumpulkan masyarakat.

Pelbagai usaha kerap dilakukan oleh persatuan penduduk, Perbadanan Pengurusan ( MC ) dan Badan Pengurusan Bersama (JMB) untuk menggalakkan penduduk berinteraksi di antara mereka. Hari keluarga, goyong-royong dan pertandingan-pertandingan sukan kerap dianjurkan tetapi kadang-kala gagal menarik penglibatan penduduk. Tetapi penduduk akan bertumpu di masjid dan surau untuk solat Tarawih walaupun tanpa jamuan yang mewah, kehadiran VIP atau hamper untuk cabutan bertuah seperti program-program tersebut.

Mereka yang bekerja akan sedaya upaya untuk sampai di rumah sebelum waktu berbuka puasa. Terdapat pejabat dan syarikat yang memberi peluang kepada pekerja-pekerja Islam untuk balik lebih awal dari biasa. Majoriti penduduk telah berada di rumah sebelum waktu Maghrib. Ramadan dapat mengukuhkan institusi keluarga.

Ramadan juga adalah peluang yang terbaik untuk menyampaikan apa sahaja maklumat atau mesej kepada penduduk. Hari ini hampir setiap masjid dan surau memasukkan slot tazkirah selepas atau sebelum solat Tarawih. Jangan hadkan slot tazkirah ini kepada kuliah atau ceramah agama. Tazkirah bermakna peringatan. Peringatan bukan sahaja terhad untuk ibadah-ibadah khusus sahaja. Tetapi ia juga boleh merupakan peringatan kepada penduduk untuk membayar caj penyelenggaraan, untuk menjaga kebersihan atau untuk tidak merosakkan kemudahan awam.

Tetapi jangan pula Pengerusi MC atau JMB berucap panjang lebar sebelum atau selepas solat Tarawih. Memadai dengan ucapan ringkas. Mintalah penceramah-penceramah jemputan untuk menyelitkan mesej atau peringatan dari MC atau JMB. Pada bulan Ramadan, lazimnya hati kita menjadi lembut justeru itu senang untuk menerima nasihat atau peringatan. Saranan seperti, ‘Bayarlah yuran penyelenggaraan tepat pada masanya’ atau ‘Jangan rosakkan butang lif’ lebih berkesan jika disampaikan ketika tazkirah.

Terdapat mereka yang kurang minat mengadakan mesyuarat pada bulan Ramadan. Ada organisasi sukarela yang menangguhkan mesyuarat bulanan mereka pada bulan Ramadan. Sebenarnya bulan Ramadan adalah paling sesuai untuk mengadakan mesyuarat kerana orang yang berpuasa akan lebih menjaga tingkah laku dan akhlak mereka. Sekiranya mesyuarat di hari-hari biasa sentiasa panas atau tegang, mesyuarat pada bulan Ramadan adalah lebih harmoni. Tidak ada sesiapa yang siuman yang akan bertengkar sehingga melampaui batas atau menjerit-jerit pada bulan Ramadan. Tambahan pula apabila perut kita kosong, pemikiran kita akan menjadi lebih jelas.

Selain dari manfaat kepada kesihatan diri kita dan masyarakat, bulan Ramadan berupaya memberi manfaat kepada alam sekitar. Sepatutnya sampah yang dibuang akan berkurangan kerana kita tidak lagi makan di siang hari tetapi malang sekali sebaliknya yang berlaku. Alam Flora pernah mendedahkan pungutan sampah di beberapa kawasan konsesi mereka meningkat ketika bulan Ramadan dari 2,500 tan sehari kepada 3,000 tan sehari.

Kita perlu menggunakan peluang Ramadan ini bukan sahaja untuk memulihkan kesihatan diri kita dengan berpuasa tetapi juga memulihkan alam sekitar dengan mengubah sikap kita. Kalau di hari-hari biasa, kita mungkin makan 5 kali sehari (2 berat dan 3 ringan) tetapi pada bulan Ramadan ia menjadi 3 kali sahaja (2 berat dan 1 ringan). Kita semua perlu berusaha untuk tidak membazir dengan membeli makanan menurut keperluan dan bukan menurut hawa nafsu. Sudah tentu ia akan memberi manfaat kepada alam sekitar.

Elakkan dari menggunakan bekas pakai buang seperti bekas plastik jika hendak membeli makanan di pasar juadah. Bawalah bekas sendiri atau beg sendiri. Hari ini bekas atau beg mesra alam digunakan secara meluas tetapi ia masih akan dibuang dan akan menjadi sebahagian dari statistik sisa pepejal. Tambahan pula ia masih akan memberi kesan kepada haiwan-haiwan laut seperti penyu jika termakan.

Waktu kerja yang dipendekkan bukan sahaja memberi manfaat kepada pekerja tetapi juga menjimatkan tenaga. Jika pejabat ditutup satu jam atau tiga puluh minit lebih awal maka ini bermakna akan berlaku penjimatan tenaga elektrik. Lampu dan penghawa dingin akan ditutup lebih awal. Bayangkan berapa banyak tenaga elektrik yang dapat dijimatkan untuk seluruh negara.

Justeru itu jangan melihat polisi ‘balik awal’ ini sebagai sekadar kebenaran untuk berduyun-duyun ke pasar juadah tetapi kita perlu menyedari akan manfaat-manfaat yang lain. Ia berupaya mengukuhkan institusi keluarga dan merapatkan hubungan di kalangan anggota masyarakat selain dari menjimatkan tenaga elektrik.

Manfaat Ramadan adalah meluas. Dari individu kepada masyarakat hingga ke alam sekitar. Kita tidak boleh melihatnya dari satu sudut sahaja. Ia tidak boleh disempitkan. Ini sesuai dengan Islam sebagai rahmat kepada seluruh alam. Keindahan Islam itu perlu dirasai oleh semua.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH) – HARAKAHDAILY 14/4/2021