Inilah DAP yang sebenar

“DAP adalah untuk semua rakyat Malaysia. Kita perlu bekerjasama dengan parti-parti Melayu yang lain, tetapi kita tidak boleh menjatuhkan maruah atau menggambarkan diri kita sebagai parti bukan-Cina” demikian kata AJK DAP Pusat Ronnie Liu.

Memang begitu pun DAP sejak dari penubuhannya lebih 50 tahun dulu. DAP sinonim dengan perjuangan hak dan kepentingan masyarakat bukan-Melayu khasnya masyarakat Cina kerana itu DAP dilihat satu-satunya parti pejuang kelompok ini sehingga ia berjaya hampir menyapu bersih undi kaum Cina dalam PRU ke-14 lalu.

Perlembagaan DAP pun jelas menyatakan matlamatnya adalah untuk mempertahankan Perlembagaan Negara sebagai Perlembagaan Sekular yakni yang memisahkan urusan negara dan agama. Orang Melayu rata-rata tidak begitu.

Advertisement

Lalu dalam keghairahan mereka menakluk undi Melayu melompat dan marahlah kalangan pimpinan mereka apabila Ronnie mempertahankan wajah sebenar DAP. Apa nak marah kerana hakikatnya begitulah DAP. Agenda Malaysian Malaysia yang dilihat mengancam kedudukan hak istimewa orang Melayu itulah agenda mereka iaitu menekankan meritokrasi dan hak sama rata buat semua tanpa menghirau kontrak sosial yang membina asas negara ini.

Ronnie tak pandai berbohong dalam hal ini malah berbangga dengan status partinya sebagai pejuang hak masyarakat Cina. Cuma yang mahu lompat berkuasa dalam DAP (kerana kini musim pemilihan dalam DAP) yang tak sanggup berterus-terang. Risau susah dapat sokongan orang Melayu. Dan orang Melayu sendiri bagaimana? Ada hati pada DAP?

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 14/4/2021