Harga makanan, barangan kawalan di Kedah terkawal

POKOK SENA: Berdasar Ops Pantau yang dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Penguna (KPDNHEP) mendapati harga makanan dan barangan kawalan di Kedah masih terkawal.

Exco Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Wan Romani Wan Salim berkata, setakat ini belum ada aduan berkenaan kenaikan harga barang oleh pengguna.

Bagaimanapun katanya, pengguna digesa segera membuat aduan sekiranya terdapat peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barang terutama di musim perayaan sekarang.

Advertisement

“Mereka boleh membuat aduan secara di atas talian e-aduan,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan pelitup muka dan hand sanitizer kepada 57 sekolah di daerah Pokok Sena hari ini.

Turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah Pokok Sena Ahmad Bawadir Abdul Ghani.

Sebuah akhbar hari ini melaporkan berlaku kenaikan mendadak harga runcit barangan keperluan hampir di seluruh negara ketika umat Islam menghadapi Ramadan sekarang.

Berdasar tinjauan yang dibuat didapati berlaku peningkatan harga ayam bersih standard sebelum ini RM5.99 meningkat kepada RM9.50 sekilogram.

Wan Romani yang juga Adun Bukit Pinang turut memberi jaminan bekalan makanan di Kedah sepanjang Ramadan dan sambutan Aidilfitri ini mencukupi.

“Ini bermakna bekalan makanan mencukupi seluruh Kedah. Kerajaan negeri dan KPDNHEP mengadakan lawatan ke premis-premis perniagaan sebelum Ramadan lagi,” ujarnya.

Sementara itu pada majlis berkenaan sebanyak 1,200 keping pelitup muka dan 600 botol hand sanitizer diserah kepada guru besar dan wakil sekolah yang hadir.

Program itu diadakan di Dewan MADA Hutan Kampung itu ditaja Respack Manufacturing Sdn Bhd. – HARAKAHDAILY 14/4/2021