Edar 500 bubur lambuk untuk riders

- Advertisement -

KOTA BHARU: Holiday Villa Hotel dengan kerjasama Klinik Adila mengagihkan sebanyak 500 pek bubur lambuk secara ekslusif kepada penghantar makanan (riders) yang diadakan di sekitar hadapan perkarangan hotel berkenaan di Wakaf Che Yeh, di sini, hari ini.

- Advertisement -

Juadah berbuka puasa itu diagihkan sebelum solat Asar kepada pengguna jalan raya yang melalui kawasan berkenaan dan khususnya kepada penghantar makanan.

Menurut Pengurus Besarnya, Mokhtar Latif, bubur lambuk tersebut telah disediakan khusus serta dimasak oleh kakitangan Holiday Villa Hotel yang diketuai sendiri oleh beliau dan dipantau oleh Chef Mohd Syamim Buamin.

Ketika sesi pengagihan dijalankan, beliau juga tidak melepaskan peluang hadir sama bersama 15 kakitangan hotel yang lain dalam sesi pengagihan bubur lambuk.

Katanya, resepi bubur lambuk itu disediakan istimewa oleh chef dari Holiday Villa Hotel yang telah menyediakan ramuan khusus secara tersendiri.

Ujar beliau, istimewanya Ramadan kali ini, pihak Holiday Villa Hotel juga akan terus mengadakan sesi pengagihan bubur lambuk pada setiap minggu kepada para pengunjung dan masyarkat ramai di sekitar hotel berkenaan.

“Bubur lambuk akan diedarkan pada setiap hari Khamis kepada orang ramai yang lalu lalang di sekitar kawasan ini,” katanya ketika ditemui selepas selesai program berkenaan.

Tahun ini merupakan tahun kelapan pihaknya menganjurkan program pengagihan bubur lambuk sebagai aktiviti rutin tahunan bulan Ramadan di bawah tanggungjawab sosial untuk mengeratkan hubungan kakitangan hotel dan masyarakat setempat.

Bagaimanapun katanya, pihaknya juga menyediakan Pakej Infak bagi mana-mana syarikat korporat atau organisasi yang ingin menderma atau menginfak. – HARAKAHDAILY 14/4/2021

- Advertisement -