Biar sikit asal kerap: Bicara mengenai kehidupan (Siri 1)

- Advertisement -

SEPERTI biasa, setiap kali Ramadan saya akan cuba menulis setiap hari. Insya-Allah tahun ini saya cuba untuk terus istiqamah dengan amalan ini. Tapi sebelum itu saya nak kongsi sedikit pengalaman menulis setiap Ramadan:

2013, saya buat perkongsian secara rawak di blogspot ilhamdarweesh. Tanpa tajuk tersusun.

2014, mula menulis posting di facebook. Juga secara rawak.

2015, saya menulis siri Ramadan Antara Adat dan Ibadat. Khusus menjelaskan kedudukan adat atau tanggapan masyarakat berkait Ramadan, apakah ia menepati syarak atau tidak.

2016, saya teruskan dengan siri Salah Faham Kata. Memperbetulkan salah faham mengenai istilah-istilah yang dipinjam daripada bahasa Arab ke bahasa Melayu.

- Advertisement -

2017, saya mula menyusun siri Sahabat di Sisi Rasulullah. Akhirnya menjadi sebuah buku bertajuk Hadis 40 Sahabat di Sisi Rasulullah.

2018, saya hurai Hadis-hadis akhir zaman mengikut kedudukan geografi. Akhirnya menjadi buku Huraian Hadis Geoeskatologi.

2019, saya susun pula tadabbur satu persatu ayat Surah al-Kahfi dari perspektif Akhir Zaman. Menjadi buku bertajuk Di Bawah Naungan al-Kahfi jilid 1.

2020, sambung tadabbur ayat yang berbaki. Sehingga sempurna jilid ke 2 Di Bawah Naungan al-Kahfi.

Tahun ini, saya bercadang untuk menulis tajuk yang lebih ringan. Mengenai kehidupan. Bukan berbentuk teori dan falsafah. Tetapi lebih kepada amalan dan praktik. Tujuan saya berkongsi pengalaman sepanjang Ramadan di atas juga ada kaitan dengan siri tulisan kali ini. 

Istiqamah

Nabi S.A.W bersabda:

أحَبُّ الأعْمالِ إلى اللهِ تَعالَى أدْوَمُها، وإنْ قَلَّ. 

“Sebaik-baik amalan di sisi Allah adalah yang kerap walaupun sedikit.”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ada dua kata kunci dari Hadis ini yang perlu dilihat. Pertama ‘kerap’ dan kedua ‘sedikit’.

Lihat kata kunci ‘sedikit’ dahulu. Ia bermaksud tak kira amal apa. Besar, kecil, banyak, sedikit. Tak kisah. Boleh pilih amalan mana yang kita suka berdasarkan kemudahan dan kecenderungan masing-masing. Islam kan agama mudah. Jangan rasa hina dengan amalan yang kecil. Nabi bersabda:

لا تَحْقِرَنَّ مِنَ المَعروفِ شيئًا، ولو أنْ تَلْقَى أخاكَ بوَجْهٍ طَلْقٍ

“Jangan rasa hina dengan apa jua kebaikan, walaupun kamu hanya berjumpa dengan saudaramu dengan wajah yang ceria.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Mungkin kita sendiri tak pernah terfikir, berwajah ceria ini satu amalan baik. Sebab ianya boleh dikatakan tanpa usaha (effortless). Tapi tuhan tetap kira. Maknanya tak ada masalah kalau nak pilih senyum sebagai amalan.

Kalau saya, minat menulis. Jadi saya pilih menulis sebagai amalan. Maka saya tak rasa terbeban untuk melaksanakannya secara berterusan.

Betul kata pepatah:

“Choose a job you love, and you will never have to work a day in your life.”

Pilih kerja yang anda suka. Pasti anda tak rasa seperti bekerja pun! Nak memilih kerja dengan orang memanglah susah zaman sekarang. Tapi memilih kerja dengan tuhan, tak ada masalah! Mulakan dengan sedikit. Yang penting berterusan. Ini kata kunci ‘kerap’ dalam Hadis terdahulu.

Kekerapan ini kalau boleh ia berlaku setiap hari. Untuk biasakan ia jadi rutin. Contohnya setiap pagi ke, atau sebelum tidur ke, terpulang. Biar jadi tabiat. Kalau kekerapan dua hari sekali atau seminggu sekali, berpotensi untuk mudah lupa.

Cuma untuk jadikan sebagai rutin ini perlukan sesi latihan bagi membiasakan diri. Saya pilih Ramadan sebab rasa lebih banyak masa. Bangun lebih awal dari biasa, waktu makan tiada, program pula lebih sedikit. Banyak masa untuk fokus kepada amalan kita.

Tambah dengan keberkatan Ramadan, insya-Allah amalan baik yang kita lakukan setiap hari sepanjang Ramadan akan berterusan selepas itu. Walaupun mungkin tak mampu setiap hari, namun kita rasa lebih mudah untuk melakukannya berbanding sebelum Ramadan. Itu tanda tarbiah Madrasah Ramadan berhasil.

Mula-mula memang kena paksa diri sikit untuk istiqamah. Tapi bila dah jadi kebiasaan, jadi ringan pula. Malah rasa janggal pula bila tak lakukan. Macam tak lengkap hidup. Saya amat mencadangkan untuk mulakan amalan bermanfaat Ramadan ini. Cubalah apa-apapun. Pasti kalian tak akan menyesal. Ramadan sangat ajaib! Tak tahu nak jelaskan macam mana. Kena cuba sendiri!

ALANG IBN SHUKRIMUN – HARAKAHDAILY 14/4/2021

- Advertisement -