Akal, kalbu dan peribadi yang sihat

- Advertisement -

SECARA umumnya, keperibadian yang sihat adalah merujuk kepada kemampuan seseorang dalam mengatur diri sendiri, membangun hubungan yang baik dengan orang sekeliling serta menjaga lingkungan.

Adapun peribadi yang tidak sihat pula, sering kali dilihat sangat rapat dengan mal-fungsi akal iaitu tidak sedar, tidak mampu memahami serta mengawal diri:

- Advertisement -

وَيَجْعَلُ الرِّجْسَ عَلَى الَّذِينَ لَا يَعْقِلُونَ ‎﴿١٠٠﴾

“Dan Allah menimpakan azab atas orang-orang yang tidak mahu memahami (perintah-perintahNya).” 

(Yunus: 10)

Kalbu ( قلب )

Al-Ghazali mendefinisi kalbu (qalb) kepada dua iaitu secara fizik, merujuk kepada segumpal daging di dalam tubuh manusia dan yang kedua secara metafizik merujuk kepada hati nurani yang bertindak menangkap rasa, mengetahui dan mengenal sesuatu.

Di dalam dunia psikologi disebut sebagai conscience:

“The part of personality that helps determine between right and wrong and keeps from acting upon the most basic urges and desires. It is what makes feel guilty when you do something bad and good when you do something kind.”

Interaksi akal dan kalbu

Menurut penjelasan Al-Ghazali akal mempunyai beberapa peranan di antaranya al-nazhar (melihat), al-tadabbur(memperhatikan), al-ta’ammul (merenungkan), al-i’tibar (menginterpretasikan), al-tafkir (memikirkan) dan al-tadzakkur(mengingat). Penerangan yang dinyatakan oleh al-Ghazali sama seperti konsep kognisi di dalam psikologi. 

Interaksi dinamik antara akal dan kalbu dapat dilihat seperti berikut: 

1. Akal memerlukan interaksi kalbu yang bersumberkan nilai-nilai ilahiyah dalam melakukan pertimbangan. Meskipun menggerakkan akal merupakan tuntutan, namun akal bukan satu-satunya faktor yang membentuk keperibadian yang sihat dan ia tidak menjadikan manusia itu mulia tanpa iman yang bersumber dari kalbu. 

2. Kalbu pula bertindak tanpa proses yang panjang, ia seolah-olah digerakkan secara ilham hasil dari pelaksanaan peranan-peranan akal. Ini bermaksud sekiranya akal tidak berfungsi dengan baik, tidak mampu melihat kemungkinan dan kesan dari perbuatan yang diambil. Maka, ia akan memberi kesan kepada kalbu dalam mengendalikan nafsu.

Allah berfirman:

فَإِنَّهَا لَا تَعْمَى الْأَبْصَارُ وَلَٰكِن تَعْمَى الْقُلُوبُ الَّتِي فِي الصُّدُورِ ‎﴿٤٦﴾

“Kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada.” 

(Yunus: 46)

Akal mampu mengenal hak dan batil melalui usaha, namun yang menghantar rasa takwa itu adalah hasil interaksi antara akal dan kalbu. Jelaslah bahawa akal yang rasional sahaja tidak mampu membentuk peribadi yang sihat tanpa fungsi kalbu yang baik. Semoga Ramadan ini menjadi titik permulaan untuk kita membentuk peribadi yang sihat. 

AINA MOKHTAR – HARAKAHDAILY 14/4/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -