Realisasikan projek MRT3 menjadi manfaat untuk semua

- Advertisement -

SAYA memuji tindakan proaktif yang dilaksanakan oleh Kerajaan pada hari ini melalui Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong dalam meneruskan projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) di Lembah Klang setelah 3 bulan melaksanakan kajian menyeluruh yang membabitkan jajaran dan aspek kewangan.

Saya menyokong penuh inisiatif tersebut kerana ia sudah pasti akan memberi banyak manfaat kepada semua rakyat, khususnya penduduk di Lembah Klang. Selain itu, projek ini juga bakal mengurangkan kesesakan jalan raya dan menyediakan sistem pengangkutan yang efisien.

- Advertisement -

Justeru, saya ingin mengesyorkan beberapa cadangan untuk diambil berat oleh pihak kementerian dalam pelaksanaan projek MRT3:

i.          Membuka peluang penglibatan Perunding dan Kontraktor tempatan, terutamanya kepada golongan Bumiputera sekurang-kurangnya sebanyak 80 peratus dan bukannya 30 peratus seperti kebiasaan sebelum ini. Saya percaya bahawa golongan profesional tempatan telah mempunyai cukup pengalaman dan kelayakan untuk melaksanakan projek MRT3 setelah terlibat dengan projek-projek besar sebelum ini seperti MRT, LRT dan keretapi. Di samping dapat mengurangkan kos projek, perunding tempatan juga pastinya akan lebih memahami keadaan geotechnical, kesan cuaca dan sosial budaya tempatan bagi menepati kehendak reka bentuk yang sesuai bagi tujuan kegunaan, operasi dan penyelenggaraan MRT3.

ii.         Memberikan keutamaan kepada penggunaan produk tempatan yang setanding dengan produk luar negara di bawah pantauan ketat MRT Corp dalam melaksanakan projek ini supaya perkembangan teknologi di dalam negara sentiasa bertambah baik.

iii.        Memastikan projek ini tidak dimonopoli oleh syarikat-syarikat besar sama ada dari dalam atau luar negara semata-mata. Ia hendaklah diuruskan sendiri oleh MRT Corp dan membahagikannya kepada beberapa skop sederhana dan kecil mengikut kesesuaian yang sepatutnya. Ia juga bertujuan supaya lebih banyak peluang diberikan kepada perunding dan kontraktor yang berkapasiti kecil dan sederhana untuk terlibat sama tanpa menjejaskan kualiti penghasilan MRT3.

iv.        Meluaskan capaian manfaat projek ini kepada keseluruhan rakyat Malaysia dengan memperbanyakkan reka bentuk dalaman serta hiasan stesen dan koc MRT bercirikan nilai budaya dan hasil kraf tangan tempatan.

Besar harapan saya untuk melihat agar projek MRT3 ini dapat memberikan 1001 kebaikan kepada rakyat dan negara Malaysia yang tercinta. 

Terima kasih.

“Islam Memimpin Perpaduan”

YB SENATOR USTAZ HAJI IDRIS AHMAD 
Ahli Dewan Negara
Naib Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) – HARAKAHDAILY 13/4/2021

- Advertisement -