Hikmah bangun awal untuk bersahur

- Advertisement -

عن أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : تَسَحَّرُوا فَإِنَّ فِي السَّحُورِ بَرَكَةً

“Daripada Anas bin Malik R.A katanya, Nabi S.A.W bersabda: “Hendaklah kamu bersahur kerana pada sahur itu terdapat keberkatan.”

(Hadis Sahih Riwayat al-Bukhari, no.1923)

- Advertisement -

Para ulamak telah bersepakat bahawa bersahur merupakan perkara yang disunatkan dan digalakkan. Ianya bukanlah perkara wajib, namun pada zahirnya terdapat keberkatan ketika bersahur.

Jika dilihat dari sudut yang lain pula, amalan bersahur dapat mendorong kita untuk bangun awal sebelum waktu Subuh di mana Allah S.W.T menerangkan dalam al-Quran bahawa pada waktu ashar iaitu sebelum terbitnya fajar adalah waktu untuk banyak beristighfar.

Firman Allah S.W.T:

ٱلصَّـٰبِرِینَ وَٱلصَّـٰدِقِینَ وَٱلۡقَـٰنِتِینَ وَٱلۡمُنفِقِینَ وَٱلۡمُسۡتَغۡفِرِینَ بِٱلۡأَسۡحَارِ

“(Dan juga) orang-orang yang sabar (dalam menjunjung perintah Allah), dan orang-orang yang benar (perkataan dan hatinya), dan orang-orang yang sentiasa taat (akan perintah Allah), dan orang-orang yang membelanjakan hartanya (pada jalan Allah), dan orang-orang yang beristighfar (memohon ampun) pada waktu sahur.”

(ali-Imran: 17)

كَانُوا۟ قَلِیلࣰا مِّنَ ٱلَّیۡلِ مَا یَهۡجَعُونَ وَبِٱلۡأَسۡحَارِ هُمۡ یَسۡتَغۡفِرُونَ

“Mereka (orang-orang bertakwa) sentiasa mengambil sedikit sahaja: masa dari waktu malam untuk mereka tidur. Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun).”

(Al-Zariyat: 17-18)

Secara tidak langsung, kita dilatih selama sebulan dalam bulan Ramadan untuk bangun awal sebelum waktu Subuh agar kita biasakan diri untuk beristighfar memohon keampunan Allah S.W.T sehingga di luar bulan Ramadan.

JAWATANKUASA PENAJA DEWAN ULAMAK PAS KAWASAN GOMBAK – HARAKAHDAILY 13/4/2021

- Advertisement -