Cegah sakit jantung hanya dengan vitamin?

- Advertisement -

BERHENTILAH mempercayai kempen yang mengatakan vitamin boleh mencegah sakit jantung. Ya, vitamin adalah vitamin seadanya, tetapi ianya bukan ubat untuk merawat dan juga bukan bahan untuk mencegah. Ianya bersifat khasiat kesihatan secara umum.

Vitamin juga tidak boleh menggantikan makanan yang berkhasiat serta berzat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran. Vitamin tidak juga boleh menggantikan gaya hidup sihat seperti beriadah dan kurangkan stress.

Walaupun vitamin itu bukanlah penyebab kepada penyakit seperti sakit jantung, tetapi pengambilan vitamin itu hanyalah menjadi asbab kepada najis mahal. Bayangkan jika anda mengambil vitamin C 1000 mg, tetapi perut anda hanya mampu menyerap masuk ke dalam darah 200 mg sahaja. Selebihnya akan kekal di dalam usus dan dikeluarkan melalui najis. Ianya membuang duit anda, mahal membeli vitamin C dos tinggi tetapi dikumuhkan ke dalam tandas.

- Advertisement -

Terdapat satu kajian yang mencari hubungkait antara suplemen multivitamin dan mineral untuk mencegah ataupun merawat penyakkit jantung dan strok (Angin Ahmar). Kajian ini berbentuk review sistematik dan meta analisis yang mengumpulkan 18 kajian klinikal. Kesemuanya 2,019,862 orang subjek kajian. Pengkaji mendapati: “Suplemen tidak membaiki (improve) penyakit kardiovaskular (Sakit jantung dan strok) dalam populasi”

Sesungguhnya tidak ada jalan pintas untuk merawat penyakit jantung dan penyakit kronik. Terimalah rawatan seadanya seperti angiografi dan sebagainya bagi mengurangkan kesakitan yang dihadapi. Kekalkan gaya hidup sihat dan tidak mengambil bahan-bahan yang boleh merosakkan badan kita seperti rokok dan arak.

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 13/4/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -