6 ciri puasa yang sukar dibuat, tetapi tidak mustahil digapai

- Advertisement -

SYEIKH Sa’id Hawwa dalam bukunya AlMustakhlas fi Tazkiyatil Anfus turut mengupas perihal puasa sebagai salah satu jalan penyucian jiwa yang berkesan. Sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Al Ghazali, puasa itu mempunyai 3 darjat. Puasa orang awam, puasa golongan khusus dan puasa golongan yang terpilih.

Terdapat 6 ciri-ciri puasa yang sepatutnya diusahakan oleh semua umat Islam untuk menggapainya sepanjang Ramadan. Syeikh Said Hawwa menyebutkannya sebagai puasa golongan solehin. 

- Advertisement -

1. Memelihara pandangan.

Menundukkan pandangan daripada melihat yang dicela dan makruh. Apa jua yang melalaikan hatinya daripada mengingati Allah akan dihindari. Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud:

 “Pandangan itu seumpama panahan beracun daripada panahan Iblis, barangsiapa yang meninggalkannya kerana takutkan Allah, dianugerahkan kemanisan iman dalam jiwanya.”

(Riwayat Al Hakim)

2. Memelihara lidah.

Memelihara lidah daripada berbohong, mengumpat, bertengkar dan bercakap kotor bahkan melazimi diam. Menyibukkan diri dengan zikir, membaca al-Quran. Dua perkara yang merosakkan puasa adalah mengumpat dan berbohong. Puasa itu adalah perisai yang mencegah dua perbuatan di atas. 

3. Menjaga telinga.

Menutup telinga daripada cenderung mendengar perkara dusta. Al-Quran menggabungjalin dua sikap buruk, iaitu suka mendengar berita bohong dengan memakan benda haram.

“Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya).”

(Al-Mā’idah: 42) 

Menurut Imam Tobari, ia merujuk kepada sifat Yahudi yang suka bercerita bohong mengenai Nabi S.A.W dan suka memakan rasuah.

“Dan engkau lihat kebanyakan dari mereka berlumba-lumba pada melakukan dosa dan pencerobohan serta memakan yang haram. Demi sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah lakukan.”

(Al-Mā’idah: 62)

4. Menjaga seluruh anggota zahir dan batin.

Menegah seluruh anggotanya daripada perbuatan dosa. Begitu juga kemaluannya. Tidak ada ertinya puasa yang hanya menahan lapar dan dahaga sebagaimana yang disebutkan dalam satu Hadis: 

كم من صائم ليس له من صيامه الا الجوع والعطش

“Berapa ramai dari mereka yang berpuasa tidak ada yang mereka perolehi kecuali hanya lapar dan dahaga.”

5. Menjaga perutnya.

Mengawal kuantiti makan ketika berbuka supaya tidak terlalu kenyang yang akan mengganggu prestasi ibadah. Ketika siangnya tidak dihabiskan dengan tidur dan bermalasan kerana lapar, di waktu malamnya pula tidak dirosakkan dengan kekenyangan yang melampau lalu bermalasan pula untuk bangun malam.

6. Memelihara hatinya.

Hati yang sentiasa seimbang di antara mengharap dan takut. Apakah benar puasa kita diterima Allah? Sentiasa mengharapkan ia diterima tetapi tetap tidak merasa selesa dengan tahap yang diusahakan semata. Pastinya hati mereka yang mahukan redha Allah tidak akan mengabaikan solat malamnya.

Inilah 6 ciri-ciri puasa orang soleh untuk kita usahakan. Bukankah memang kita sering berdoa mahu menjadi orang soleh? Menurut satu Hadis yang direkodkan oleh Al Kharaiti dengan sanad yang Hasan:

إن الصوم أمانة فليحفظ أحدكم أمانته

“Sesungguhnya puasa itu adalah amanah, maka peliharalah kalian akan amanah tersebut.”

Selamat Menyambut Ramadan Al Mubarak.

MOHD ADLAN BIN MOKHTARUDDIN
1 Ramadan 1442H – HARAKAHDAILY 13/4/2021

- Advertisement -