Tawaran kerajaan selamatkan rakyat: Negara berkebajikan membawa berkat

- Advertisement -

Firman Allah SWT:
﴿وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَكِنْ كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ٩٦﴾

“Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah banyak keberkatannya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami menimpakan ke atas mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang telah mereka lakukan.” (Surah al-A‘raf: 96)

Perkataan berkat atau ‘barakah’ dalam bahasa al-Quran, adalah perkataan jamak (plural) yang diambil daripada perkataan ‘baraka’, bermaksud meletakkan diri dengan tetap atau duduk di suatu tempat dengan teguh.

- Advertisement -

Menurut istilah Islam, berkat ialah pasti membawa kebaikan kurniaan Allah SWT di dunia dan akhirat, dan hasil pendapatannya pula boleh bertambah dan berkembang dengan dirancang, sehingga tidak diduga. Ia satu istilah yang tidak wujud dalam bahasa ideologi atau teori ciptaan manusia yang lain.    

Keberkatan adalah janji Allah SWT kepada hamba-Nya secara individu dan negara, apabila wujudnya berkebajikan berdasarkan iman, beramal soleh dan berakhlak mulia yang melahirkan sifat taqwa. Sehingga keperibadian para pemimpin mencapai tahap integriti yang paling tinggi.

Mereka yang memperoleh keberkatan itu pasti akan mendapat kebaikan di dunia dan akhirat, walaupun sedikit pendapatannya. Mereka bijak menguruskannya sehingga mencukupi dan berpuas hati bagi menampung keperluan hidup dengan penuh kesabaran dan sentiasa berusaha.

Jika mencukupi apa yang diperolehinya, nescaya masing-masing akan bersyukur, tidak boros, tidak lalai dan juga tidak leka. Sebaliknya jika berkurangan pendapatannya, masing-masing boleh bersabar, sentiasa berusaha dan tidak berputus asa.

Rasulullah SAW menegaskan betapa sifat manusia itu sentiasa tidak puas dengan harta yang sebanyak-banyaknya, sebagaimana sabdanya:

لَوْ كَانَ لاِبْنِ آدَمَ وَادِيَانِ مِنْ مَالٍ لاَبْتَغَى ثَالِثًا، وَلاَ يَمْلأُ جَوْفَ ابْنِ آدَمَ إِلاَّ التُّرَابُ، وَيَتُوبُ اللَّهُ عَلَى مَنْ تَابَ.

“Kalaulah seseorang anak Adam (manusia) mempunyai dua lembah (yang penuh) emas, nescaya dia mahu lagi ditambah lembah yang ketiga (dipenuhi emas juga), dan tiada yang boleh memenuhi kemahuan dirinya sehingga (berpuas hati), melainkan setelah disumbat tanah (mati ditimbus oleh tanah). Namun, Allah menerima sesiapa yang bertaubat.” (Riwayat al-Bukhari 6439)

Hadis di atas menunjukkan bahawa kerakusan hawa nafsu manusia dan tamak halobanya sehingga lupa batasan. Sehingga menjadikannya sentiasa tidak berpuas hati, walaupun sudah berkuasa dan terlalu banyak pendapatan sehingga melampaui batas. Kerakusan dalam mengejar harta adalah suatu perasaan yang tidak akan hilang sehinggalah seseorang itu meninggal dunia.

Konsep adil kepada semua adalah ciri terpenting bagi negara berkebajikan berteraskan aqidah yang menghapuskan sifat melampau dalam segala aspek iaitu politik, ekonomi dan sosial.

Maha Adil adalah satu daripada nama-nama paling baik bagi Allah SWT.  Sifat atau nama itu mewajibkan zat-Nya yang Maha Berkuasa bersifat adil dan mustahil sama sekali bersifat zalim. Firman-Nya (dalam sebuah hadis qudsi):

يَا عِبَادِي إِنِّي حَرَّمْتُ الظُّلْمَ عَلَى نَفْسِي وَجَعَلْتُهُ بَيْنَكُمْ مُحَرَّمًا فَلاَ تَظَالَمُوا.

“Wahai hamba hamba-Ku! Sesungguhnya aku mengharamkan sifat zalim kepada diri-Ku dan aku jadikannya haram kepada kamu. Maka jangan sekali-kali berlaku zalim.” (Riwayat Muslim 2577)

Allah SWT tetap berlaku adil terhadap hamba-Nya yang baik dan jahat, sama ada mereka yang beriman atau tidak. Semua dalam kalangan mereka diberikan talian hayat, iaitu diberikan peluang untuk insaf dan bertaubat sehingga akhir hayat dan menerima pembalasannya.

Adil merupakan salah satu ciri terpenting kepada negara berkebajikan yang bermasyarakat majmuk. Berlaku adil kepada seluruh manusia daripada pelbagai agama dan bangsa, bahkan juga diwajibkan berlaku adil terhadap musuh. Firman Allah SWT:

﴿إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا٥٨﴾

“Sesungguhnya Allah menyuruh kalian supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kalian menjalankan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kalian menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kalian. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.” (Surah al-Nisa’: 58)

Adil menjadi ciri taqwa yang membina sifat integriti. Firman Allah SWT:

﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَى أَلَّا تَعْدِلُوا اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ٨﴾

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kalian semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kalian terhadap sesuatu kaum itu mendorong kalian kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kalian berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kalian lakukan.” (Surah al-Ma’idah: 8)

Allah SWT membawakan cerita yang benar dalam al-Quran, iaitu kisah mereka yang bersyukur walaupun paling berkuasa seperti Nabi Daud AS, Nabi Sulaiman AS dan Raja Zulqarnain. Selain itu, diceritakan juga kisah seorang kaya yang rakus bernama Qarun ditelan bumi. Begitu juga cerita negara-negara besar yang bertamadun tetapi sesat dan zalim, mereka dimusnahkan disebabkan kezaliman dan maksiat yang dilakukannya.

Allah SWT menceritakan sebuah negara bernama Saba’ yang mendapat keberkatan ketika semuanya beriman, bertaqwa dan bersyukur. Walau bagaimanapun, kerajaan tersebut runtuh selepas rakyatnya mulai lalai dan leka sehingga mereka tidak bersyukur. Kesudahannya mereka ditenggelamkan oleh empangan yang dibina oleh mereka sendiri iaitu Empangan Ma’rib. Firman Allah SWT:

﴿لَقَدْ كَانَ لِسَبَإٍ فِي مَسْكَنِهِمْ آيَةٌ جَنَّتَانِ عَنْ يَمِينٍ وَشِمَالٍ كُلُوا مِنْ رِزْقِ رَبِّكُمْ وَاشْكُرُوا لَهُ بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ١٥ فَأَعْرَضُوا فَأَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ سَيْلَ الْعَرِمِ وَبَدَّلْنَاهُمْ بِجَنَّتَيْهِمْ جَنَّتَيْنِ ذَوَاتَيْ أُكُلٍ خَمْطٍ وَأَثْلٍ وَشَيْءٍ مِنْ سِدْرٍ قَلِيلٍ١٦ ذَلِكَ جَزَيْنَاهُمْ بِمَا كَفَرُوا وَهَلْ نُجَازِي إِلَّا الْكَفُورَ١٧﴾

“Sesungguhnya bagi kaum Saba’ terdapat tanda (membuktikan sifat kemurahan Allah) di tempat tinggal mereka iaitu dua buah kebun di sebelah kanan dan di sebelah kiri. (Kepada mereka dikatakan): ‘Makanlah daripada rezeki yang (dianugerahkan) Tuhan kalian dan bersyukurlah  kepada-Nya. (Negeri kalian) adalah negeri yang baik dan Tuhan kalian adalah Maha Pengampun.’ (15); Maka, apabila mereka berpaling (menyeleweng dengan menjadi kufur terhadap ni‘mat Allah), maka Kami datangkan kepada mereka banjir yang besar dan Kami gantikan kedua-dua kebun mereka dengan dua buah kebun yang ditumbuhi (pohon-pohon) yang berbuah pahit, pohon Atsl dan sedikit dari pohon Sidr (bidara). (16); Demikianlah Kami memberikan balasan kepada mereka kerana kekufuran mereka. Dan Kami tidak menjatuhkan azab (yang demikian itu), melainkan hanya kepada orang-orang yang sangat kufur. (17).” (Surah Saba’: 15-17)

Allah SWT juga menceritakan bahawa terdapat negara-negara besar yang dimusnahkan-Nya, sekalipun negara itu merupakan sebuah tamadun yang paling berkuasa, paling kaya dan maju pada zaman tersebut. Firman-Nya:

﴿أَلَمْ تَرَ كَيْفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِعَادٍ٦ إِرَمَ ذَاتِ الْعِمَادِ٧ الَّتِي لَمْ يُخْلَقْ مِثْلُهَا فِي الْبِلَادِ٨ وَثَمُودَ الَّذِينَ جَابُوا الصَّخْرَ بِالْوَادِ٩ وَفِرْعَوْنَ ذِي الْأَوْتَادِ١٠ الَّذِينَ طَغَوْا فِي الْبِلَادِ١١ فَأَكْثَرُوا فِيهَا الْفَسَادَ١٢﴾

“(Kami tetap akan membinasakan orang-orang yang menentangmu wahai Muhammad), tidakkah engkau memerhatikan, bagaimana Tuhanmu telah melakukan terhadap kaum ‘Ad (yang kufur derhaka). (6); Iaitu penduduk Iram yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi tiangnya, (sesuai dengan penduduknya). (7); Yang belum pernah diciptakan sepertinya (tentang besar dan kukuhnya) di segala negeri (pada zamannya). (8); Dan (terhadap) kaum Thamud yang memahat batu-batu besar di lembah (Wadil-Qura iaitu tempat tinggalnya). (9); Dan (terhadap) Firaun yang menguasai bangunan-bangunan yang handal kukuh. (10); (Semuanya itu ialah) orang-orang yang telah bermaharajalela di negeri (masing-masing). (11); Lalu mereka melakukan dengan banyaknya kerosakan dan bencana di negeri-negeri itu. (12).” (Surah al-Fajr: 6-12)

Allah SWT menegaskan petunjuk-Nya kepada bangsa Arab Makkah yang menjadi bangsa pertama menerima kelahiran Rasul akhir zaman, iaitu Nabi Muhammad SAW. Kelahiran Baginda SAW telah mengurniakan limpah kurnia yang banyak sehingga menjadikan kedudukan Makkah di tengah padang pasir yang kering-kontang sebagai pusat perdagangan.

Firman Allah SWT:

﴿لِإِيلَافِ قُرَيْشٍ١ إِيلَافِهِمْ رِحْلَةَ الشِّتَاءِ وَالصَّيْفِ٢ فَلْيَعْبُدُوا رَبَّ هَذَا الْبَيْتِ٣ الَّذِي أَطْعَمَهُمْ مِنْ جُوعٍ وَآمَنَهُمْ مِنْ خَوْفٍ٤﴾

“Kerana kebiasaan aman tenteram kaum Quraisy (penduduk Makkah). (1); (laitu) kebiasaan aman tenteram perjalanan mereka (menjalankan perniagaan) pada musim sejuk (ke negeri Yaman), dan pada musim panas (ke negeri Syam). (2); Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan yang menguasai rumah (Kaabah) ini. (3); Tuhan yang memberikan kepada mereka penghidupan: menyelamatkan mereka daripada kelaparan, dan mengamankan mereka daripada ketakutan. (4).” (Surah Quraish: 1-4)

Melalui ayat di atas, Allah SWT menjanjikan keberkatan sekiranya seseorang itu beriman dan beribadat dengan diberikan kemajuan ekonomi yang memenuhi keperluan hidup dan kuasa politik yang memberikan keamanan dan keselamatan. Perkara tersebut berlaku, apabila melaksanakan keadilan dengan mengikuti perintah Allah SWT dan petunjuk-Nya.

Allah SWT mendedahkan sikap para pemimpin Makkah yang menolak tawaran-Nya, sebagaimana firman-Nya:

﴿وَقَالُوا إِنْ نَتَّبِعِ الْهُدَى مَعَكَ نُتَخَطَّفْ مِنْ أَرْضِنَا أَوَلَمْ نُمَكِّنْ لَهُمْ حَرَمًا آمِنًا يُجْبَى إِلَيْهِ ثَمَرَاتُ كُلِّ شَيْءٍ رِزْقًا مِنْ لَدُنَّا وَلَكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لَا يَعْلَمُونَ٥٧﴾

“Dan mereka (yang kafir) berkata: ‘Kalau kami menyertaimu dengan menuruti petunjuk yang engkau bawa itu, nescaya kami dengan serta merta akan ditangkap dan diusir dari negeri kami (oleh golongan yang menentang).’ Mengapa mereka (berkata demikian)? Bukankah kami telah melindungi mereka dan menjadikan (negeri Makkah) tempat tinggal mereka sebagai tanah suci yang aman, yang dibawa kepadanya hasil tanaman daripada segala jenis, sebagai rezeki pemberian di sisi Kami? (Benar, Kami telah menjadikan semuanya itu), tetapi kebanyakan mereka tidak memikirkan perkara itu untuk mengetahuinya (serta bersyukur).” (Surah al-Qasas: 57)

Terbukti dalam sejarah keemasan Islam yang bermula di padang pasir yang kering-kontang tanpa sebarang hasil bumi, telah berjaya menjadi sebuah negara besar yang maju dan bertamadun. Kemudiannya menggantikan kuasa besar lain yang telah sampai ajal pada zamannya.

Kejayaan tamadun Islam bermula dengan pembangunan insan (manusia) yang berintegriti dengan iman, amal soleh dan akhlak yang mulia, akhirnya mampu memerintah negara yang mempunyai masyarakatpaling majmuk pada zaman itu.

Negara Islam yang menjadi kuasa besar juga tumbang kerana meninggalkan ajaran Islam yang sempurna. Berbeza dengan tamadun terdahulu sebelumnya yang jatuh kerana jahiliah.

Tamadun Barat hari ini sedang merudum, walaupun mereka telah mencapai kemajuan sains dan teknologi yang diciplak daripada tamadun Islam. Akan tetapi, mereka gagal dalam pembangunan insan setelah meninggalkan aspek agama dan akhlak, dengan mengikut acuan sekularisme. Benarlah firman Allah SWT:

﴿ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ٤١﴾

“Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah al-Rum: 41)

Inilah pencerahan al-Quran yang wajib menjadi petunjuk kepada orang-orang yang beriman, agar tidak hanya menggunakan akal semata-mata. Inilah perintah Allah SWT kepada Rasulullah SAW, manusia paling bijak yang dilantik menjadi Rasul akhir zaman bersama mukjizat ilmu (al-Quran) telah berjaya menjadi pemimpin teladan kepada seluruh manusia. Allah SWT berfirman:

﴿وَاصْبِرْ نَفْسَكَ مَعَ الَّذِينَ يَدْعُونَ رَبَّهُمْ بِالْغَدَاةِ وَالْعَشِيِّ يُرِيدُونَ وَجْهَهُ وَلَا تَعْدُ عَيْنَاكَ عَنْهُمْ تُرِيدُ زِينَةَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَلَا تُطِعْ مَنْ أَغْفَلْنَا قَلْبَهُ عَنْ ذِكْرِنَا وَاتَّبَعَ هَوَاهُ وَكَانَ أَمْرُهُ فُرُطًا٢٨﴾

“Dan bersabarlah kalian bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan senja hari dengan mengharap keredhaan-Nya; dan janganlah kedua-dua matamu berpaling daripada mereka (kerana) mengharapkan perhiasan dunia ini; dan janganlah kalian mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan daripada mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati bata.” (Surah al-Kahfi: 28)

Ayat di atas menjelaskan secara tegas bahawa perkembangan ekonomi yang pesat sehingga menjadi paling kaya dan paling maju, dan mempunyai kuasa yang paling kuat dengan mencapai lebih daripada dua pertiga majoriti yang diuar-uarkan, semuanya tidak akan memberikan apa-apa makna, sekiranya berlaku zalim, lemah integriti dan gagal menjadi insan yang bertaqwa.

Islam bermula dengan menjadi kuasa minoriti dan diterima oleh majoriti bukan Islam kerana kerajaannya adil dan pemimpinnya pula bertaqwa, sehingga akhirnya Islam diterima tanpa sebarang paksaan.

Apakah faedahnya jika sekadar mendapat jumlah sokongan majoriti yang besar tetapi tidak berintegriti, sekiranya pada awal lagi sudah mula berbohong kepada rakyat untuk mendapatkan sokongan majoriti.

Berbohong itu sahaja sudah cukup untuk menjadi tanda hilangnya integriti, yang pasti mengundang semua perangai buruk yang lain, termasuk  menjadi kleptokrat. Kehilangan integriti pemimpin diikuti dengan kelemahan kerajaan dan penamatnya dengan kemusnahan negara.

Firman Allah SWT:

 ﴿…إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ…١١﴾

…Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri...” (Surah al-Ra‘d: 11)

Perubahan tersebut bukanlah dengan mendapat kuasa yang kuat di bumi yang kaya-raya dengan apa sahaja, tetapi perubahan peribadi para pemimipin yang dihormati oleh rakyat kerana mempunyai sifat integriti, adil dan bijaksana. Bukan melalui cara rakyatnya dibuli dengan kezaliman, dibeli dengan politik wang, diberikan rasuah dan ditipu dengan pelbagai pembohongan. Sehingga integriti tidak lagi menjadi keutamaan.

Kata Ahmad Syauqi, salah seorang penyair Arab:

وَإِنَّمَا الْأُمَمُ الْأَخْلَاقُ مَا بَقِيَتْ … فَإِنْ هُمُ ذَهَبَتْ أَخْلاقُهُمْ ذَهَبُوا.

“Sesungguhnya kekal semua umat itu dengan akhlaknya, sekiranya hilang akhlaknya, maka hilanglah diri bersama kehilangan jati dirinya (musnah).”

Firman Allah SWT:

﴿أَفَأَمِنَ أَهْلُ الْقُرَى أَنْ يَأْتِيَهُمْ بَأْسُنَا بَيَاتًا وَهُمْ نَائِمُونَ٩٧ أَوَأَمِنَ أَهْلُ الْقُرَى أَنْ يَأْتِيَهُمْ بَأْسُنَا ضُحًى وَهُمْ يَلْعَبُونَ٩٨ أَفَأَمِنُوا مَكْرَ اللَّهِ فَلَا يَأْمَنُ مَكْرَ اللَّهِ إِلَّا الْقَوْمُ الْخَاسِرُونَ٩٩ أَوَلَمْ يَهْدِ لِلَّذِينَ يَرِثُونَ الْأَرْضَ مِنْ بَعْدِ أَهْلِهَا أَنْ لَوْ نَشَاءُ أَصَبْنَاهُمْ بِذُنُوبِهِمْ وَنَطْبَعُ عَلَى قُلُوبِهِمْ فَهُمْ لَا يَسْمَعُونَ١٠٠ تِلْكَ الْقُرَى نَقُصُّ عَلَيْكَ مِنْ أَنْبَائِهَا وَلَقَدْ جَاءَتْهُمْ رُسُلُهُمْ بِالْبَيِّنَاتِ فَمَا كَانُوا لِيُؤْمِنُوا بِمَا كَذَّبُوا مِنْ قَبْلُ كَذَلِكَ يَطْبَعُ اللَّهُ عَلَى قُلُوبِ الْكَافِرِينَ١٠١ وَمَا وَجَدْنَا لِأَكْثَرِهِمْ مِنْ عَهْدٍ وَإِنْ وَجَدْنَا أَكْثَرَهُمْ لَفَاسِقِينَ١٠٢﴾

“Patutkah penduduk negeri-negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari, semasa mereka sedang tidur? (97); Atau patutkah penduduk negeri-negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka sedang leka bermain-main? (98); Patutkah mereka (bersuka ria) sehingga mereka merasa aman akan rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah? Kerana sebenarnya tiada yang merasa aman daripada rancangan buruk (balasan azab) yang diaturkan oleh Allah itu melainkan orang-orang yang rugi. (99); Adakah (yang demikian itu tersembunyi dan) tidak jelas kepada orang-orang yang mewarisi negeri itu sesudah penduduknya (hilang lenyap kerana ditimpa bencana), bahawa kalau Kami kehendaki tentulah Kami akan menimpakan ke atas mereka pula dengan azab disebabkan dosa-dosa mereka, dan Kami materikan di atas hati mereka sehingga mereka tidak dapat mendengar (nasihat-nasihat pengajaran)? (100); Negeri-negeri (yang telah Kami binasakan) itu, Kami ceritakan sebahagian dari khabar beritanya kepadamu (wahai Muhammad); dan sesungguhnya telah datang kepada mereka Rasul-rasul mereka dengan keterangan-keterangan yang nyata (mukjizat), sesudah itu mereka tidak juga beriman kepada apa yang mereka telah mendustakannya dahulu. Demikianlah Allah materikan hati orang-orang yang kafir. (101); Dan Kami tidak mendapati bagi kebanyakan mereka sebarang janji (yang ditepati), dan Kami tidak mendapati kebanyakan mereka melainkan orang-orang yang fasiq. (102).” (Surah al-A‘raf: 97-102)

Terdapat negara yang dimusnahkan kerana berlakunya kezaliman, bahkan berlakunya keruntuhan moral, salah laku dan sebagainya. Semua perkara itu berlaku berpunca daripada tidak beriman dan budiman, sehingga ilmu dan kebijaksanaannya digunakan untuk menipu rakyat. Akhirnya rakyat menjadi mangsa kerana bersama menyokongnya.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 30 Sya‘ban 1442/12 April 2021 – HARAKAHDAILY 12/4/2021

- Advertisement -