PPZ-MAIWP sasar kutipan zakat RM120 juta Ramadan ini

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir (kanan)

KUALA LUMPUR: Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menyasarkan kutipan bulan Ramadan bagi zakat harta dan zakat fitrah sebanyak RM120 juta.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir berkata jumlah itu meningkat sebanyak tiga peratus berbanding tahun lepas yang berjumlah RM117 juta.

“Bagi zakat fitrah yang dibayar melalui PPZ-MAIWP kami sasarkan sebanyak RM8 juta iaitu RM6 juta melalui secara dalam talian dan RM2 juta bayaran secara bersemuka,” katanya.

Advertisement

Ujarnya, terdapat peningkatan sebanyak tujuh peratus pembayaran zakat daripada Januari hingga Mac berbanding tahun 2020.

“Sebanyak RM145.4 juta berjaya dikutip berbanding tahun lepas sebanyak RM135.8 juta.

“Dari segi pembayar pula kami telah pun menerima sebanyak RM152.697 berbanding RM138.367 iaitu dengan kadar kenaikan 10 peratus.

(Dari kiri) Pengurus Besar Teknologi Maklumat PPZ-MAIWP, Norman Yahya, Abdul Hakim, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Operasi PPZ-MAIWP, Mohammed Hassan dan Ketua Pegawai Kewangan PPZ-MAIWP, Azhan Ismail.

“Insha Allah doakan agar pada bulan Ramadan ini kami dapat meningkatkan lagi pembayar zakat,” katanya pada sidang Media kempen ‘Ramadan Untuk Semua’ di Wisma PPZ, di sini hari ini.

Mengulas berhubung kempen ‘Ramadan Untuk Semua’ #SyukuriNikmatBersama yang berlangsung sepanjang Ramadan, ianya adalah bertujuan untuk memberi galakan kepada masyarakat Islam di Malaysia menunaikan zakat khususnya di bulan Ramadan.

Pada masa sama adalah untuk menguar-uarkan perkhidmatan dan saluran bayaran yang disediakan oleh PPZ-MAIWP khas sepanjang Ramadan tahun ini.

“Dengan bertemakan ‘Ramadan Untuk Semua #SyukuriNikmatBersama’, ianya bersesuaian dengan situasi pandemik Covid-19 kini dalam mewujudkan kitaran zakat yang komprehensif meliputi semua golongan tidak mengira lapisan pangkat dan darjat untuk merasai kemeriahan dan keberkatan di bulan Ramadan,” katanya.

Turut hadir sama, Pengurus Besar Teknologi Maklumat PPZ-MAIWP, Norman Yahya, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Operasi PPZ-MAIWP, Mohammed Hassan dan Ketua Pegawai Kewangan PPZ-MAIWP, Azhan Ismail.

Selaras dengan moto PPZ-MAIWP iaitu ‘Memudahkan Anda Berzakat’ pelbagai saluran disediakan bagi memudahkan urusan bayaran zakat dilakukan.

“Bagi perkhidmatan dan saluran bayaran sepanjang Ramadan, 10 Kaunter PPZ-MAIWP dibuka setiap hari sepanjang Ramadan termasuk cuti umum, perkhidmatan Kaunter Zakat Digital (KZD), perkhidmatan Door to Door serta saluran dalam talian di portal rasmi PPZ-MAIWP,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/4/2021