PAS bantah kerajaan DAP mula kerja penambakan Mei

KUALA LUMPUR: PAS Pulau Pinang menyelar tindakan gelojoh Kerajaan DAP Pulau Pinang tentang hasrat untuk memulakan kerja penambakan fasa 1 Pulau A pada Mei ini melalui kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Ketua Menteri 1, Dato’ Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Muhammad Fauzi Yusuf berkata, kerajaan negeri berbuat demikian tanpa menghormati proses rayuan Unit Nelayan Sungai Batu terhadap Lembaga Rayuan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi membatalkan kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).

Advertisement

Katanya, pernyataan tidak bertanggungjawab jelas menunjukkan kerajaan negeri tidak menghormati proses rayuan yang dibuat nelayan.

Menurutnya, rayuan tersebut mempunyai risiko pembatalan EIA.

Beliau berkata, tindakan gelojoh kerajaan negeri melobi melalui beberapa siaran media berbayar sebelum ini juga menggambarkan kedudukan yang terdesak yang cuba disorokkan untuk membina keyakinan palsu terhadap pelabur.

“PAS Pulau Pinang bertegas supaya penilaian semula (revised) EIA mesti dilakukan dengan proses penyertaan awam secara terbuka dan telus,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, PAS negeri konsisten membantah projek bagi memastikan nelayan-nelayan tidak terus tertindas dan sekuriti makanan (food security) rakyat terjamin dalam menghadapi cabaran di era pandemik Covid-19.

Justeru, kata beliau PAS Pulau Pinang memohon Kerajaan Pusat campurtangan terhadap tindakan kerajaan negeri yang tidak beretika itu. – HARAKAHDAILY 12/4/2021