PAS bantah fasa 1 Pulau A PSR mulakan tambakan

PAS Pulau Pinang menyelar tindakan gelojoh Kerajaan DAP Pulau Pinang mengenai hasrat untuk memulakan kerja penambakan fasa 1 Pulau A pada Mei ini melalui kenyataan yang dibuat oleh TKM 1, Dato Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman. Kerajaan negeri berbuat demikian tanpa menghormati proses rayuan Unit Nelayan Sg Batu terhadap Lembaga Rayuan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi membatalkan kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).

Pernyataan tak bertanggungjawab jelas menunjukkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak menghormati proses rayuan yang dibuat nelayan. Rayuan tersebut mempunyai risiko pembatalan EIA.

Advertisement

Tindakan gelojoh Kerajaan Negeri melobi melalui beberapa siaran media berbayar sebelum ini juga menggambarkan kedudukan yang terdesak yang cuba disorokkan untuk membina keyakinan palsu terhadap pelabur.

PAS Pulau Pinang bertegas supaya penilaian semula (revised) EIA mesti dilakukan dengan proses penyertaan awam secara terbuka dan telus.

PAS Pulau Pinang konsisten membantah projek bagi memastikan nelayan-nelayan tidak terus tertindas dan sekuriti makanan (food security) rakyat terjamin dalam menghadapi cabaran di era pandemik COVID19.

PAS Pulau Pinang memohon Kerajaan Pusat campur tangan terhadap tindakan kerajaan negeri yang tidak beretika itu.

Sekian, Terima Kasih

“Islam Memperkukuh Perpaduan”

USTAZ MUHAMMAD FAUZI YUSOFF 
Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang – HARAKAHDAILY 12/4/2021