Negara berintegriti, kebajikan tunjang tawaran PN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Malaysia akan bersama-sama berusaha untuk meneruskan agenda membentuk kerajaan berintegriti dan berkebajikan yang menjadi tunjang dalam tawaran Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ketua Penerangannya, Dr Najihatussalehah Ahmad berkata, selain itu, untuk meraikan masyarakat majmuk yang terdiri daripada bumiputera dan bukan bumiputera.

Katanya, walaupun Islam tetap menjadi teras dalam perjuangan namun kepelbagaian kaum dan agama tetap menjadi agenda utama dalam memastikan kesejahteraan seluruh lapisan masyarakat.

- Advertisement -

Beliau berkata, bagi memastikan kerajaan yang mapan bergerak dengan teguh, pihaknya sentiasa berusaha mengukuhkan kerjasama bersama rakan-rakan dalam Muafakat Nasional dan PN iaitu daripada Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Pergerakan Wanita Umno, Gerakan Wanita SAPP, Parti Solidariti Tanah Airku dan Jawatankuasa Wanita Parti Gerakan.

Jelasnya, bentuk negara berkebajikan yang menjadi rujukan PAS selama ini  adalah sepertimana yang disebutkan dalam surah Al-Baqarah ayat 177 yang bermaksud: “Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang itu kepada Allah dan hari akhirat dan segala malaikat dan segala kitab dan sekalian nabi, dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, kepada kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba abdi, dan mengerjakannya sembahyang serta mengeluarkan zakat dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian, dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam kesempitan, dan dalam kesakitan dan juga dalam pertempuran di jalan Allah. Orang yang demikian sifatnya mereka itulah orang-orang yang benar ( beriman dan mengerjakan kebajikan ) dan mereka itulah juga orang yang bertaqwa”.

Tambahnya, apa yang perlu difahami daripada ayat di atas, di antara bentuk negara berkebajikan dan berintegriti yang ditawarkan PN ialah penekanan kepada konsep menunaikan janji dalam suatu perjanjian.

“Oleh kerana itu, PAS memandang tinggi manifesto sebagai satu akujanji tawaran yang bakal dilaksanakan atas kajian kepentingan dan kebolehlaksanaannya bukan semata-mata tawaran indah tanpa asas dan sekadar ditulis untuk menggula-gulakan rakyat yang mengundi,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Perkara itu, katanya dapat dilihat kepada usaha kerajaan PAS Terengganu, Kelantan dan Kedah dalam menunaikan manifesto.

Jelasnya lagi, negara berkebajikan ialah negara yang didirikan atas asas kepercayaan rakyat kepada kerajaan.

“Dasarnya  adalah Islam yang adil untuk semua yang tidak memaksa mereka yang bukan Islam untuk memeluk Islam,” ujarnya.

Menurutnya, rakyat pelbagai kaum akan menikmati kehidupan yang lebih aman dan sejahtera dengan dasar itu.

Justeru, ujarya sebelum menyeru rakyat berkorban untuk negara, kerajaan harus terlebih dahulu mempamerkan sebuah kerajaan berintegriti dan itulah konsep yang ditekankan kerajaan PAS yang telah memerintah Kelantan sejak 30 lalu. – HARAKAHDAILY 12/4/2021

- Advertisement -