‘Nanti keputusan bersama’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Setiausaha PAS Sabah, Dr Aliakbar Gulasan berkata rakyat Sabah sentiasa menantikan keputusan bersama yang mengembalikan semangat Perjanjian Malaysia 1963 khususnya berkaitan ekonomi dan politik di negeri itu.

Ujarnya, walaupun belum ada sebarang keputusan rasmi mengenai kedudukan pertukaran Sabah dan Sarawak sebagai Wilayah namun beliau tetap yakin sebarang keputusan akan memberi kesan positif kepada rakyat Sabah.

- Advertisement -

Katanya lagi, ini kerana kerajaan Persekutuan yang diterajui Perikatan Nasional (PN) dan kerajaan Negeri Sabah diterajui parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mempunyai aliran dan matlamat sama iaitu sentiasa mengutamakan pembangunan negeri dan rakyat Sabah.

Aliakbar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah (ADUN Lantikan) berkata keseimbangan pembangunan antara wilayah mesti lebih adil dan saksama.

Beliau menekankan penambahbaikan pembangunan infrastruktur dan pembangunan ekonomi di Sabah dan Sarawak mesti dipercepatkan.

“Dalam konteks Sabah, Pelancaran Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya merupakan antara langkah terbaik kerajaan GRS memacu pembangunan dan sosioekonomi masyarakat Sabah,” kata Aliakbar.

Sejak beberapa hari lalu, tular spekulasi pertukaran status Negeri Sabah kepada Wilayah Sabah berkuat kuasa serta-merta.

Walau bagaimanapun, Timbalan Ketua Menteri Sabah Dato’ Dr Jeffrey Kitingan mengingatkan rakyat Sabah tidak mempercayai berita yang tular itu.

Ujar Jeffrey pengumuman yang penting itu harus datang daripada Jabatan Perdana Menteri atau pihak yang sewajarnya. – HARAKAHDAILY 12/4/2021

- Advertisement -