Jajaran politik baharu ulangan sejarah hitam PH

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jajaran politik baharu hanya akan mengembalikan kekhuatiran dan kebimbangan rakyat ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH), kata Ahli Jawatankuasa PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Katanya, ketika Perikatan Nasional (PN) mengambil alih Kerajaan Persekutuan, ramai dalam kalangan rakyat menarik nafas lega petanda berakhirnya pentadbiran PH sebagai Kerajaan Persekutuan.

Justeru itu, beliau menyeru semua pihak mempertahankan gagasan politik yang ada ketika ini dan bukan mencipta jajaran politik baharu demi kebaikan masa hadapan rakyat dan negara.

- Advertisement -

“Jajaran politik baharu hanya akan mengembalikan apa yang dikhuatiri oleh kebanyakkan rakyat jelata iaitu era Pakatan Harapan.

“Pertahankanlah gagasan politik yang ada saat ini, bukan mencipta jajaran politik baharu yang belum tahu hujung pangkalnya namun sudah tahu kesudahannya,” ujarnya dalam satu hantaran Facebook, semalam.

Tambah beliau, gagasan politik yang ada ketika ini harus dipertahan, diperkuat dan diperkasa, bukan digoncang, dirobohkan ataupun diberikan ruang mencipta jajaran politik baru yang lebih kurang sama dengan yang terdahulu.

Menurutnya, berlainan pendapat, berselisih faham dan tidak sealiran adalah perkara lumrah dalam sebuah keluarga yang besar.

Bagaimanapun, ia bukan titik penamat untuk mencari solusi mahupun titik persamaan untuk menjernihkan keadaan mahupun menguatkan kembali persaudaraan dan ukhuwah, ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Buruk.

“Sedangkan lidah lagi tergigit, itulah perumpamaan yang sesuai diungkapkan dalam mendepani situasi politik dalam negara ketika ini yang agak hangat dan bergelora,” kata beliau lagi. – HARAKAHDAILY 12/4/2021

- Advertisement -