Dataran Warisan Stadium Muhammad IV kembali sunyi

- Advertisement -

KOTA BHARU: Dataran Warisan Stadium Muhammad IV di sini kembali sunyi berikutan keputusan kerajaan negeri membatalkan program Madinah Ramadan.

Di kawasan berdekatan juga sepatutnya diadakan bazar Ramadan namun juga dibatalkan walaupun sebahagian besar peniaga sudah membuat persiapan.

Malah khemah yang sepatutnya dijadikan lokasi Madinah Ramadan kini dalam proses pengubahsuaian untuk dijadikan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC).

- Advertisement -

Tinjauan Harakahdaily petang tadi di sini mendapati hanya ada tiga pekerja memasang khemah untuk menambah satu lagi pusat kuarantin bagi menampung jumlah pesakit Covid-19 yang ada sekarang.

Kadar penggunaan katil di hospital dan PKRC yang kini sudah mencecah lebih 70 peratus termasuk Hospital Tumpat, Dewan Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) dan Dewan Jubli Perak MPKB-BRI.

Langkah tersebut dilaksanakan susulan kes Covid-19 di Kelantan terus meningkat kebelakangan ini.

Pembatalan Madinah Ramadan dan Bazar Ramadan diumumkan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dr Izani Husin semalam.

Beliau turut mengarah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) agar memulangkan semua wang pendahuluan kepada peniaga yang membuat tempahan untuk berniaga di bazar sepanjang Ramadan ini.

Madinah Ramadan merupakan acara tahunan diadakan sempena kedatangan bulan Ramadan yang membabitkan aktiviti solat tarawih secara berjemaah, berbuka puasa dan program ilmiah.

Tahun lepas juga tidak diadakan program berkenaan kerana penularan wabak Covid-19. Kes Covid-19 di Kelantan kelmarin berada pada kedudukan ketiga tertinggi selepas Sarawak dan Selangor.

Malah negeri itu turut menunjukkan kadar kebolehjangkitan, 1.12 berbanding peringkat nasional 1.06.

Dan hari ini sebanyak 58 kes baharu jangkitan harian Covid-19 di Kelantan menjadikan jumlah kumulatif kes positif sebanyak 7,177 kes. Selain itu terdapat satu kluster baharu direkodkan.

Kata Dr Izani orang ramai hendaklah terus patuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan demi kebaikan bersama. – HARAKAHDAILY 12/4/2021

- Advertisement -