Covid-19 meningkat: Kelantan batal bazar Ramadan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Bazar Ramadan dan Aidilfitri seluruh negeri Kelantan dibatalkan susulan kes positif Covid-19 di negeri itu mencatatkan peningkatan.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Dr Izani Husin memaklumkan perkara berkenaan, hari ini.

Malah beliau berkata, Madinah Ramadan juga ditukar menjadi Pusat Rawatan dan Kuarantin Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) sebagai ikhtiar membendung penularan wabak berkenaan.

Semalam, di Kelantan mencatat 171 kes Covid-19 dan berada di kedudukan ketiga tertinggi selepas Sarawak dan Selangor.

Pada masa sama, Kelantan turut merekod satu kluster baru iaitu Kluster Bandar Baru Kubang Kerian yang membabitkan tempat kerja di daerah Tumpat, Bachok, dan Kota Bharu.

Sebelum ini Menteri Besar Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob membenarkan bazar Ramadan beroperasi dengan kapasiti penjual dan pembeli yang bersesuaian dengan lokasi selain perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menurutnya, penjual hanya dibenarkan melayan dua pelanggan pada satu-satu masa.

Manakala Mesyuarat Jawatan Kuasa Keselamatan Negeri (JKKN) memaklumkan pembentangan oleh Pengarah Kesihatan Negeri, Dato’ Dr Zaini Husin menunjukkan kes positif meningkat sebanyak 455 kes dalam masa tiga hari.

Perkara itu berlaku kemugkinan disebabkan perantau anak Kelantan pulang menjelang bulan Ramadan dan cuti sekolah baru-baru ini.

Turut menyumbang penganjuran majlis-majlis keramaian dan kesedaran masyarakat kepada pematuhan SOP yang masih rendah. – HARAKAHDAILY 11/4/2021

- Advertisement -