Penyeragaman perundangan syariah: Apa usaha kerajaan?

- Advertisement -

“YANG ini saya kurang setuju. Apa salahnya berunding untuk seragamkan hal ehwal agama Islam. Itu bukanlah sebagai penanda tidak menghormati bidang kuasa negeri”. Komen salah seorang pembaca di tulisan saya sebelum ini. Saya rasa, ada sedikit salah faham yang saya perlu jelaskan di sini.

Ya, kita memang setuju bahawa bidang kuasa negeri yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan perlu dihormati. Namun begitu, Kerajaan di peringkat Persekutuan tidak pernah menjadikan perkara ini sebagai alasan untuk tidak berusaha menyeragamkan Undang-undang Syariah. Bahkan, sebahagiannya telah berjaya diseragamkan oleh kerajaan dan ia melibatkan Undang-undang Syariah utama. 

- Advertisement -

Sebelum ini, Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syarak dan Sivil, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama pelbagai pihak di peringkat negeri, telah pun berjaya menyeragamkan lima Undang-undang Syariah utama iaitu:

(1) Undang-undang Pentadbiran Agama Islam.
(2) Undang-undang Keluarga Islam.
(3) Undang-undang Keterangan Mahkamah Syariah.
(4) Undang-undang Tatacara Jenayah Syariah.
(5) Undang-undang Tatacara Mal Mahkamah Syariah.

Kerajaan pada masa ini pula, melalui Jawatankuasa Teknikal, juga telah dan sedang berunding dengan negeri-negeri untuk menyelaras dan menyeragamkan beberapa Undang-undang Syariah lain termasuklah Undang-undang Profesion Guaman Syarie.

Matlamat untuk memartabatkan Undang-undang Syariah memerlukan kepada usaha dalam pelbagai jenis aspek, dan ia bukanlah suatu perkara yang mudah. Diharapkan dengan perkongsian ini, sahabat-sahabat akan lebih jelas mengenai isu pentadbiran hal ehwal agama Islam di Malaysia.

Mungkin selepas ini saya boleh kongsikan pula usaha penyeragaman yang turut dilakukan dalam aspek penguatkuasaan dan pendakwaan syariah, serta kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan negeri dalam pelaksanaan hal ehwal Islam.

YB USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 10/4/2021

- Advertisement -