Empat cabaran semasa Dunia Islam

- Advertisement -

UJIAN dan cabaran yang berlaku terhadap Dunia Islam senantiasa berubah dari zaman ke zaman, tujuannya adalah satu namun cara dan pendekatannya sahaja yang berubah. Tujuan utamanya adalah untuk menjauhkan umat Islam dari petunjuk Allah SWT dengan memecahbelahkan mereka mengikut bangsa, kaum dan mazhab.

- Advertisement -

Oleh kerana itu, menjadi tanggungjawab kepada umat Islam supaya sentiasa peka dengan pendekatan-pendekatan baharu musuh Islam agar mereka sentiasa berada dalam petunjuk Allah SWT.

Walaupun tidak dinafikan terdapat anasir-anasir dalaman yang menyebabkan kemunduran Dunia Islam seperti kejahilan umat Islam terhadap ajaran Islam yang menyeluruh, kelalaian ulama terhadap tanggungjawab mereka sebagai penasihat dan kezaliman pemerintah terhadap rakyat yang wajib dipeliharanya.

Namun begitu perhatian juga perlu diberikan kepada anasir-anasir luar yang sentiasa merancang dan berusaha untuk melemahkan serta menghancurkan Dunia Islam. Ketika ini, terdapat sekurang-kurangnya empat cabaran semasa yang dihadapi oleh Dunia Islam mutakhir ini.

Pecah dan Perintah

Strategi pecah perintah terhadap Dunia Islam bukanlah satu fenomena baharu bahkan ia sentiasa diperbaharui dan diulang dari semasa ke semasa setelah kemuncak kejayaan musuh Islam menjatuhkan Khilafah Uthmaniyyah pada tahun 1924.

Dari situ maka termeterailah perjanjian-perjanjian seperti Sykes – Picot dan lain-lain lagi sehingga terbentuknya negara-negara kecil yang mewakili umat Islam mengikut bangsa, kaum dan mazhab. Bahkan satu bangsa dari kalangan umat Islam dipecahkan kepada beberapa negara seperti bangsa Arab yang mempunyai sekurang-kurangnya 20 buah negara.

Hingga ke saat ini, kuasa besar dunia dari negara Barat terus melaksanakan polisi pecah perintah terhadap Dunia Islam di atas nama perang menentang keganasan yang sebenarnya ialah perang untuk mengekang dan melemahkan kebangkitan Islam. Ketika ini, strategi untuk memetakan semula Dunia Islam sedang rancak berlaku samada di Syria, Iraq, Yaman, Libya dan lain-lain lagi.

Begitu juga mutakhir ini terdapat pelbagai isu yang sengaja diwujudkan untuk memastikan perpecahan terus berkekalan sesama umat Islam. Isu-isu seperti pertembungan Sunni dan Syiah termasuk juga Salaf dan Khalaf sengaja diperbesarkan supaya perbalahan terus hidup dan penyatuan tidak akan berlaku sesama Dunia Islam.

Agenda Pembaratan

Al-Taghriib atau agenda pembaratan adalah salah satu cabaran semasa yang sentiasa diulang dalam pelbagai bentuk terhadap Dunia Islam. Perlu ditekankan di sini, bukan semua anasir-anasir Barat yang diimport ke Dunia Islam mesti ditolak dan tidak diterima.

Ini adalah kerana Islam mengajar umatnya supaya menerima perkara baik dan bermanfaat daripada sesiapa sahaja berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
” Hikmah (kebijaksanaan) itu adalah barang tercicir orang beriman, di mana sahaja didapati dia berhak mengambilnya” (Hadis).

Dalam peperangan al-Ahzab, Rasulullah SAW menerima cadangan Salman Al-Farisi supaya menggali parit sebagai satu taktik perang untuk menyekat musuh sebagaimana yang digunakan oleh orang-orang Parsi dalam peperangan. Maka di atas dasar ini juga Saidina Umar Al-Khattab mengambil kaedah pengurusan harta negara dari Rom walaupun mereka menganut agama Kristian.

Sekularisme adalah ibu segala kejahatan dalam agenda pembaratan yang dibawa ke Dunia Islam bertujuan untuk membuang jatidiri Islam dari penganutnya dengan cara dan hujah yang halus.

Mengikut Dr. Safr Al-Hawali, sekularisme terbahagi kepada dua bahagian. Pertama, sekularisme yang memerangi agama seperti komunisme dan yang kedua ialah sekularisme yang memisahkan cara hidup dengan agama iaitu dicipta atau diketengahkan pelbagai teori dan ideologi khususnya mengenai urusan kenegaraan seperti demokrasi, urusan kemasyarakatan seperti nasionalisme dan ekonomi seperti sosialisme dan kapitalisme atau lain-lain lagi sebagaimana yang diamalkan oleh kebanyakan negara Barat pada hari ini.

Walaupun pada zahirnya wujud perbezaan yang nyata di antara satu sama lain, namun pada hakikatnya sama iaitu membuang dan memisahkan manusia daripada rahmat dan petunjuk Allah SWT.

Agenda demokrasi yang ditaja oleh Barat di Dunia Islam umpama air banjir yang bercampur-campur kebaikan dan keburukannya, di mana ia hanya boleh dinilai dengan adil oleh ulama-ulama yang ikhlas. Demokrasi diterima dengan begitu baik sekali di Dunia Islam kerana sebahagian sistem demokrasi itu selari dengan ajaran Islam bahkan Islam mendahului Barat dalam memperkenalkan konsep-konsep yang diamalkan oleh Demokrasi Barat seperti pemilihan ketua negara berasaskan konsep syura, kebebasan menegur dan menasihati pemerintah serta lain-lain lagi.

Namun apa yang dibimbangi ialah intima’ umat Islam khususnya kumpulan-kumpulan Islam kepada demokrasi di mana ia mestilah berada dalam ruang lingkup siyasah syari’iyyah yang meletakkan kepentingan agama mengatasi segala-galanya.

Mutakhir ini, kepudaran yang melanda kumpulan-kumpulan Islam terhadap prinsip-prinsip Islam menyebabkan mereka hanyut dengan demokrasi Barat sehingga sanggup bersekongkol dengan musuh Islam demi untuk mendapat kuasa semata-mata dengan meletakkan kepentingan Islam di belakang.

Samaada mereka sedar atau tidak, mereka telah terperangkap dengan jerangkap-jerangkap samar musuh sehingga sanggup menjadi ‘terompah-terompah tandas’ yang menyebarkan fitnah dan menggalakkan permusuhan sesama umat Islam kononnya di atas nama demokrasi.

Penjajahan Istilah

Awal abad ke 20 di zaman kelemahan umat Islam, kebanyakan Dunia Islam dijajah dan ditakluk sesama kuasa Barat sehinggalah kemerdekaan dicapai setelah dimeteraikan perjanjian-perjanjian yang berjaya melemahkan Dunia Islam.

Zaman penjajahan mungkin telah berlalu, namun apa yang berlaku sekarang ini ialah zaman penjajahan istilah. Zaman globalisasi yang menjadikan dunia tanpa sempadan melalui alat-alatnya digunakan oleh musuh-musuh Islam untuk menjajah pemikiran manusia dengan menggunakan media massa.

Maka timbullah bermacam-macam istilah negatif terhadap Islam yang sengaja diwujudkan demi untuk menyekat kebangkitannya. Sebahagian daripada istilah-istilah ini dijadikan peluru-peluru untuk menjauhkan masyarakat bukan Islam terhadap Islam seperti Islamic Terrorism yang melahirkan Islamofobia di negara-negara Barat

Sebahagian lagi pula digunakan sebagai alat untuk mengelirukan umat Islam kononnya di atas nama kebebasan agama seperti Islam Liberal, Islam Moderate, Islam Pluralisme dan istilah-istilah lain lagi.

Normalisasi Politik dan Budaya Sonsang

Normalisasi maksudnya menjadikan sesuatu yang luar biasa, asing dan pelik kepada normal dan biasa. Dalam konteks politik Dunia Islam pada hari ini, hubungan antara negara Islam dan Israel adalah luar biasa kerana jenayah yang dilakukan oleh Zionis Yahudi merampas bumi umat Islam Palestin lalu dibina di atasnya negara haram Israel pada tahun 1948.

Namun apa yang berlaku pada hari ini adalah satu agenda tersusun yang dirangka oleh musuh-musuh Islam bagi menormalkan hubungan negara Islam dengan Israel. Sehingga hari ini beberapa buah negara Islam khususnya negara-negara Arab telah mengisytiharkan normalisasi hubungan diplomatik dengan Israel.

Penubuhan negara haram Israel di atas penaklukan bumi Palestin yang menjadi milik kepada umat Islam setelah ianya dibuka oleh Saidina Umar Al-Khattab pada tahun ke 16 Hijrah. Maka di atas dasar ini, para ulama menegaskan adalah haram kepada umat Islam untuk merestuinya.

Mengiktiraf negara Israel seolah-olah meredhai bumi umat Islam yang telah dirampas. Berpuluh-puluh pandangan ulama telah dikeluarkan mengharamkan umat Islam menyerah, membuat perjanjian damai dan merestui negara haram Israel.

Sebagai rekod, pada awal 1930-an iaitu sebelum penubuhan negara haram Israel lagi telah dikeluarkan fatwa oleh para ulama yang mengharamkan umat Islam menyerah bumi mereka kepada penjajah setelah mereka melihat perancangan Zionis dengan bantuan kuasa-kuasa penjajah Barat ketika itu khususnya British untuk merampas bumi Palestin dan diserahkan kepada orang Yahudi.

Fatwa ini dikeluarkan hasil persidangan ulama Palestin yang diadakan pada bulan Januari 1935 dengan ditandatangani antara lainnya oleh Syeikh Muhammad Amin Al-Husainy, Mufti Baitulmaqdis.

Pada tahun 1956 pula, Universiti Al-Azhar mengeluarkan fatwa yang sama maksudnya sebagai satu penegasan lagi terhadap fatwa yang sebelumnya yang ditandatangani antara lainya oleh Syeikh Mahmud Syaltut, bekas Presiden Universiti Al-Azhar.

Rentetan daripada itu, diadakan persidangan Antarabangsa Islam pada tahun 1989 yang dihadiri oleh ulama-ulama semasa yang mewakili 19 buah negara yang seterusnya mengeluarkan resolusi yang ditandatangani oleh para ulama antaranya ialah Syeikh Muhammad Al-Ghazali, Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi, Syeikh Wahbah Az-Zuhaily, Syeikh Fathi Yakan, Syeikh Al-Khalili, Syeikh Abdullah Azzam dan lain-lain lagi.

Normalisasi budaya songsang pula ialah menjadikan amalan dan budaya yang bercanggah dengan fitrah semulajadi manusia sebagai satu perkara normal dan biasa. Dalam konteks ini ialah LGBT, di mana ketika ini golongan LGBT diangkat dan disanjung sama ada secara sedar atau tidak, dan mereka dengan megahnya mendabik dada kerana dibela oleh pihak-pihak di dalam dan luar negara kononnya di atas asas prinsip hak asasi manusia.

Walhal apa yang mereka lakukan adalah bercanggah dengan tabiat semula jadi manusia. Tidak salah mendekati mereka dengan tujuan untuk menasihati dan membimbing, bukan mendorong dan menyokong apatah lagi mengangkat golongan ini sebagai tokoh dan ikon di kalangan masyarakat.

Perlu diingat, di sana ada perbezaan antara melakukan kemungkaran dan bermegah-megah melakukan kemungkaran. Bermegah-megah melakukan kemungkaran boleh mengundang bala daripada Allah SWT.

Kaum dan umat yang ditimpakan bala oleh Allah SWT di zaman dahulu adalah kerana mereka bermegah-megah melakukan kemungkaran. Kaum A’ad, Tsamud, penduduk Sadom dan lain-lain lagi dibinasakan oleh Allah SWT apabila mereka menzahirkan kemungkaran dan bermegah-megah dengannya.

Inilah empat cabaran semasa yang dihadapi oleh Dunia Islam mutakhir ini yang perlu diberi perhatian. Apa yang lebih penting ialah bagaimanakah cara dan tindakan yang mesti diambil oleh Dunia Islam dalam menghadapi cabaran-cabaran ini.

Usah kita lalai, terpedaya dan mengambil mudah segala cabaran – cabaran ini kerana musuh – musuh Islam tidak pernah leka, lalai dan senantiasa berusaha untuk melemahkan dan memporak – perandakan kebangkitan mahupun kesatuan umat dan Dunia Islam.

Semoga Allah SWT memberikan kita semua kekuatan dan keazaman untuk mengembalikan kemakmuran dan kegemilangan Islam di bumi yang bertuah ini.

Islam Memperkukuh Perpaduan.

YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Buruk. – HARAKAHDAILY 10/4/2021

- Advertisement -