Suami pegawai polis disyaki ketua Geng Lanun Merah

SHAH ALAM: Geng Lanun Merah Black Maria 360 yang disyaki diketuai oleh suami seorang pegawai polis di Kuala Lumpur, dahulunya dikenali sebagai Kumpulan Kenderaan Pacuan Empat Roda.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata kumpulan itu disyaki terlibat dalam kegiatan pembuangan sisa toksik berjadual, pengedaran dadah dan penyeludupan pendatang tanpa izin di sekitar Klang, pada 2019.

“Untuk makluman, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor telah menjalankan siasatan ke atas kumpulan ini pada 2019. Namun, hasil siasatan mendapati tiada sebarang keterangan bagi mengaitkan kumpulan ini dengan kegiatan-kegiatan jenayah ketika itu,“ katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini hari ini.

Advertisement

Susulan itu, Arjunaidi berkata pihaknya telah menubuhkan satu pasukan khas untuk menyiasat geng itu dan beliau memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kumpulan tersebut agar tampil membantu siasatan.

Berhubung dakwaan penggunaan sebuah kelong sebagai pusat kegiatan jenayah geng itu, beliau berkata kelong tersebut merupakan tempat memancing dan sewa bot yang dibuka kepada orang ramai.

Semalam, Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) JSJ Bukit Aman, Datuk Dev Kumar menyatakan siasatan terhadap geng berkenaan masih di peringkat awal.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata polis membuka kertas siasatan berhubung dakwaan kemunculan semula kumpulan itu.

Kumpulan yang aktif sejak 2013 itu dilaporkan dianggotai tidak kurang 500 ahli, menjadikan kumpulan kongsi gelap tersebut antara kumpulan jenayah terancang yang menguasai pelbagai kegiatan jenayah di kawasan Klang, Selangor.

Mengulas mengenai isu gangsterisme di Selangor, Arjunaidi berkata pihaknya telah menahan 550 individu atas pelbagai kesalahan berkaitan kongsi gelap bagi tempoh 2019 hingga Mac tahun ini.

“Ia melibatkan 175 kes dan antara kes yang dilakukan oleh kumpulan kongsi gelap ini meliputi pergaduhan, merusuh, bunuh, cubaan bunuh, penggunaan senjata api, samun, pemerasan dan lain-lain jenayah kekerasan,” katanya. – BERNAMA