Ramadan: Banyakkan doa negara kita bebas Covid-19

- Advertisement -

BANDAR MELAKA: Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man mengajak semua umat Islam agar mengambil kesempatan bulan Ramadan yang bakal tiba bagi membanyakkan doa agar Malaysia dan seluruh dunia bebas daripada bencana pandemik Covid-19.

“Jangan lupa setiap saat berdoa kepada Allah swt supaya wabak Covid-19 dapat diangkat oleh Allah swt daripada negara kita dan seluruh dunia insya-Allah.

“Dan di waktu sama (doa) Allah swt pelihara kita, pejuang-pejuang, penolong-penolong kepada agama Allah. Mudah-mudahan kita bina negara kita, sebuah negara yang diberkati oleh Allah swt sebagaimana yang kita usahakan,” ujar beliau lagi.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian ketika meluangkan masa untuk satu rakaman video slot taujihat Ramadan oleh Unit Produksi Media, Jabatan Penerangan PAS Melaka bersempena dengan kedatangan bulan mulia Ramadan Al Mubarak di Hotel Sentral, Jalan Tun Sri Lanang, di sini, semalam.

Beliau yang juga Menteri Alam Sekitar Dan Air (KASA) turut mengambil kesempatan mengucapkan selamat menyambut Ramadan buat seluruh rakyat Melaka.

“Ramadan mubarak, Ramadan yang diberkati Allah swt, insya-Allah kepada seluruh umat Islam di Melaka khususnya dan kepada umat Islam seluruh dunia amnya.

“Dan insya-Allah kedatangan Ramadan ini adalah satu rahmat Allah swt di mana Nabi SAW berdoa kepada Allah semoga Allah memanjangkan umurnya supaya bertemu dengan Ramadan.

“Bila masuk sahaja bulan Rejab, Nabi SAW telah berdoa kepada Allah swt, ‘Ya Allah ya Tuhan kami, berkatilah kami pada bulan Rejab dan bulan Sya’aban, dan panjangkanlah umur (kami) untuk bertemu dengan Ramadan.

“Alhamdulillah kita semua dipanjangkan umur oleh Allah swt untuk bertemu dengan Ramadan. Mudah-mudahan Ramadan tahun ini menjadi Ramadan yang terbaik bagi kita, insya-Allah. Dan mengambil manfaat setiap waktu,” kata beliau.

Ustaz Tuan Ibrahim turut menitipkan tiga perkara penting yang menurut beliau amat perlu dalam rangka mengisi bulan mulia Ramadan ini.

“Yang pertama marilah kita mengambil kesempatan sungguh-sungguh untuk membanyakkan bacaan Al Quran kita pada sepanjang Ramadan.

“Usahalah pada setiap waktu kita tidak tinggal Al Quran. Jadikan telefon kita sebagai teman rapat kita untuk mendengar Al Quran,” kata Tuan Ibrahim lagi.

Beliau juga menasihatkan agar semua umat Islam memulakan pagi dengan membuka telefon pintar masing-masing, namun jangan membuka laman sesawang atau applikasi lain, melainkan buka Al-Quran dahulu.

“Yang kedua, jadikan Ramadan ini sebagai ‘teman’ rumah Allah SWT supaya sepanjang waktu kita sentiasa jaga sembahyang berjemaah, berkunjung ke masjid, iktiqaf di masjid, supaya Ramadan ini benar-benar membezakan kita.

“Kita tidak habis masa dengan telefon, habis masa di kedai-kedai, di tempat awam, tapi kita habiskan masa di rumah Allah swt. Jadikan rumah Allah swt sebagai tempat pertama sebelum kita jadi tetamu kepada makhluk yang lain.

“Dan yang ketiga jadikan Ramadan juga sebagai bulan yang kita mengeratkan silaturrahim dalam kalangan seluruh keluarga kita, sahabat handai kita, insya-Allah. Tanya khabar mereka, hantar mesej pada mereka dan doakan mereka.

“Dan kita harus ingat bahawa doa yang tidak ditolak oleh Allah swt ialah doa pada sahabat tanpa pengetahuan dia. Doa semoga Allah swt ampun dosa dia. Doa semoga Allah swt murahkan rezeki pada dia. Dan doa semoga Allah swt merahmati dia. Insya-Allah apa yang kita buat Allah swt akan bagi

“Buat baiklah kamu kepada makhluk Allah, bagaimana Allah buat baik pada kamu. Dan jangan melakukan kerosakan di muka bumi. Jaga alam sekitar yang bersih, ceria selalu, mudah-mudahan diberkati Allah swt,” kata beliau mengakhiri rakaman video tersebut.

Terdahulu Tuan Ibrahim telah mengadakan satu pertemuan tertutup bersama-sama dengan Badan Perhubungan PAS Melaka di lokasi yang sama bersempena dengan rangka lawatan rasmi beliau sebagai Menteri Alam Sekitar dan Air selama dua hari ke negeri Melaka pada Khamis dan Jumaat. – HARAKAHDAILY 9/4/2021

- Advertisement -