PN atau MN, PAS tegas utamakan penyatuan ummah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS melihat seperti adanya usaha yang kuat sama ada daripada parti rakan mahupun lawan untuk mendesak PAS memilih Muafakat Nasional (MN) atau Perikatan Nasional (PN).

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nazir Helmi berkata situasi itu menggambarkan seolah-olah PAS parti yang lemah dan tidak mampu mengambil pendirian jelas dalam gerakan politiknya.

“Dengan tegas kami nyatakan, memaksa PAS untuk memilih antara kedua gabungan ini hanyalah sekadar suara nakal dan tidak akan ada dalam kamus perjuangan PAS untuk memilih salah satu,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

- Advertisement -

Menurutnya, PAS tegas berpendirian untuk menyatukan ummah dan itulah pendirian yang didukung teguh oleh Pemuda PAS dan semua kepimpinan ahli hatta penyokong PAS.

Tambahnya, penyatuan ummah perlulah diterjemah dalam konteks yang luas dan berjiwa besar, bukan dengan tafsiran sempit ianya hanya milik individu atau kelompok tertentu.

Beliau berkata, penyatuan meliputi apa sahaja gabungan parti Melayu Islam dan rakyat Malaysia yang sedia menerima prinsip kedamaian seperti dianjur dalam Islam, berpegang teguh pada Rukun Negara, serta tidak ekstrim dalam menterjemah perpaduan dikalangan semua kaum, agama dan bangsa.

Katanya lagi, penyatuan juga adalah untuk mengembalikan kestabilan politik negara, dan bukan hanya bertujuan untuk menyelamatkan kelompok dan individu untuk kepentingan peribadi.

Tegasnya, Pemuda PAS mengecam mana-mana entiti yang cuba menghasut untuk menjauhi permuafakatan dan penyatuan ini, sekali gus mengheret kepada kepincangan dan ketidaktentuan politik yang menggusarkan rakyat.

“Pesan kami, belajarlah untuk menghormati pendirian yang dipertegaskan kepimpinan PAS itu sendiri,” ujarnya.

Pada masa yang sama, ujar beliau Pemuda PAS menyeru semua pihak untuk mempersiapkan diri dalam menyambut kedatangan bulan mulia, Ramadan.

“Marilah kita menjadikan kedatangan bulan ini sebagai bulan untuk merealisasikan impian dan azam besar kita, dalam membina kestabilan negara dan menyatukan seluruh rakyat Malaysia, untuk menjayakan agenda kebajikan rakyat dan kestabilan negara,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 9/4/2021

- Advertisement -