MB rayu rakyat patuhi SOP elak kes Covid-19 meningkat

- Advertisement -

KOTA BHARU: Menteri Besar amat mengharap rakyat Kelantan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) memandangkan kes positif Covid-19 harian di negeri itu masih lagi tinggi.

- Advertisement -

Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, hanya melalui pematuhan SOP sahaja dapat menurunkan kes tersebut.

Tambahan pula, katanya pada Ramadan ini kerajaan membenarkan bazar Ramadan beroperasi yang dibimbangi boleh menular semula pandemik sekiranya tidak ada pematuhan SOP.

“Sebab itu kita tetapkan hanya dua pelanggan sahaja berada di gerai ketika membeli juadah berbuka puasa. Penjarakan satu meter begitu penting,” katanya pada kuliah di Dewan Zulkifli Muhammad Pejabat Perhubungan PAS Kelantan hari ini.

Menurutnya tidak dapat ditolak kemungkinan diberi nombor kepada orang ramai yang datang ke Bazar Ramadan bagi mengelakkan kesesakan berlaku.

Misalnya kata beliau sekiranya sesuatu kawasan itu boleh memuatkan sekitar 500 orang, ia boleh dipastikan dengan memberi nombor kepada orang ramai.

Menteri Besar juga berkata, rakyat Kelantan hendaklah mendaftar segera untuk mendapat suntikan vaksin Covid-19 sebagai ikhtiar bagi mengurangkan jangkitan.

“Berdasar mesyuarat semalam dilapor Kelantan negeri kedua terendah yang mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin di negara ini.

“Jadi kita minta pegawai kerajaan, penggawa dan penghulu membantu meminta orang ramai mendaftar untuk menyertai program vaksinasi dengan segera,” ujarnya.

Sementara itu anggota Exco kerajaan negeri Dr Izani Husin pula berkata, terdapat peningkatan jumlah kes harian Covid-19 di Kelantan hari ini iaitu sebanyak 143 kes.

Jumlah kes postif tersebut bertambah berbanding semalam dicatat 87 kes.

Katanya ia menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di negeri tersebut sebanyak 6,850 kes.

“Jadi terus patuhi SOP yang ditetapkan demi kebaikan bersama. Tubik rumah pakai mask, kelik rumah basuh tangan,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/4/2021

- Advertisement -