INSAN sedia bantu belia B40 tercicir pelajaran

- Advertisement -

KOTA BHARU: Insan Development Academy (INSAN) sedia membantu remaja dan belia golongan B40 yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dan tercicir dalam pelajaran.

Pengasas INSAN, Dr Mohd Zamri Nordin berkata, pihaknya sedia membantu golongan keluarga B40 dengan menawarkan peluang kedua membina kerjaya melalui pengajian dan kemudahan asas yang disediakan secara percuma.

Malah, ia juga merupakan usaha INSAN untuk membentuk sikap golongan terbabit supaya dapat bersaing dalam membina kerjaya melalui tawaran pekerjaan pada masa akan datang.

- Advertisement -

“INSAN berhasrat untuk membentuk dan memperbetulkan sikap golongan terbabit supaya dapat berdaya saing, bekerjaya dan bertanggungjawab pada diri, keluarga, masyarakat serta negara,” katanya pada taklimat industri di Kompleks Kota Darulnaim semalam.

Taklimat itu disampaikan kepada wakil-wakil rakyat mengenai program pembangunan insan dan memperkasa kerjaya. Ia diadakan dengan kerjasama Urustia Belia dan Sukan (U-Bes).

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Negeri Ustaz Wan Roslan Wan Hamat.

Dr Mohd Zamri juga berkata, peserta program Insan Development Academy dianugerah Pensijilan Profesional Pembangunan Kerjaya yang diiktiraf dan diberi tawaran kerja.

Menurutnya peserta program pensijilan tersebut perlu menjalani sesi teori selama lapan hari dan latihan di industri selama enam bulan.

Kata beliau, sepanjang program itu peserta akan dibayar elaun antara RM700 hingga RM900 tidak termasuk kerja lebih masa dan tempat tinggal disediakan secara percuma.

Bagaimanapun katanya sebelum dihantar menjalani latihan industri, mereka akan menyertai kelas selama lapan hari yang menekankan beberapa modul kemahiran insaniah.

“Teori selama lapan hari dan enam bulan di industri terpilih. Selepas tamat mereka akan ditawarkan kerja,” ujarnya.

Wan Roslan pula berkata, program berkenaan merupakan inisiatif yang baik dalam usaha membangunkan anak muda dan belia yang tercicir daripada mendapat peluang pekerjaan.

Katanya, pada peringkat awal kerajaan negeri mensyasarkan seramai 450 anak muda dan belia yang akan turut menyertai program yang ditawarkan itu. – HARAKAHDAILY 9/4/2021

- Advertisement -