Dr Awang Sariyan terima anugerah Tokoh UNESCO-KLWBC

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Prof Dato’ Seri Dr Awang Sariyan menerima anugerah khas Tokoh UNESCO-KLWBC 2020/2021.

Anugerah itu disampaikan Menteri Pengajian Tinggi Dato’ Seri Dr Noraini Ahmad di Dewan Tun Hussein Onn, WTC semalam sempena Anugerah Buku Negara.

Dr Awang kelahiran Pontian, Johor juga merupakan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM.

- Advertisement -

Sebelum ini beliau menyandang banyak jawatan akademik dan pentadbiran, antaranya Profesor Bahasa di Universiti Putera Malaysia, Profesor Bahasa di Universiti Malaya, Penyandang Kursi Pengajian Melayu Kementerian Pendidikan Tinggi di Beijing Foreign Studies University, Republik Rakyat China.

Selain itu Ketua Pengarah DBP, Profesor Tamu di Goethe Universitat, Frankfurt, Jerman dan Universiti Sumatera Utara, Indonesia, Profesor Dunia Melayu di ISTAC, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Beliau juga dilantik anggota Panel Penasihat Komunikasi dan Multimedia Kementerian Komunikasi dan Multinedia, anggota panel Penasihat AKEPT Kementerian Pendidikan Tinggi.

Ketua Kluster Tamadun dan Sisiobudaya YADIM, Felo Institut Masa Depan Malaysia, Penasihat Sekretariat Pengembangan Bahasa Melayu di Republik Rakyat China dan Perunding Seberang Laut Kementerian Pendidikan Singapura.

Beliau turut dikurnia Profesor Kehormat Pendidikan Bahasa dan Kebudayaan oleh Beijing Foreign Studies University dan Doktor Falsafah Kehormat daripada World Academy of Arts, California.

Pelibatannya dalam pengembangan bahasa dan persuratan Melayu selama lebih 40 tahun meliputi dalam negara, serantau dan antarabangsa.

Dr Awang juga pernah dilantik setiausaha dan Pengerusi Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM).

Tulisannya meliputi lebih 70 judul buku, kamus dan antologi puisi, lebih 500 rencana dan bab dalam buku, lebih 200 kertas kerja persidangan termasuk di Australia, Belanda, Brunei Darussalam, Cambodia, Indonesia, Jepun, Jerman dan Korea Selatan. – HARAKAHDAILY 9/4/2021

- Advertisement -