Terima rumah baharu daripada TNB menjelang Ramadan

- Advertisement -

KANGAR: Sebanyak 19 keluarga penduduk berpendapatan rendah (B40) di negeri ini bertuah apabila menerima kediaman baharu disumbang Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Kesemua rumah tersebut dengan kos sebanyak RM950,000 memberi sinar baharu kepada penduduk terbabit menjelang sambutan Ramadan tidak lama lagi.

Pengerusi TNB Dato’ Seri Mahdzir Khalid berkata, penyerahan kediaman baharu kepada 17 keluarga tersebut dilaksanakan menerusi Projek Baiti Jannati (PBJ).

- Advertisement -

Manakala dua lagi keluarga bukan Islam menerima manfaat terbabit menerusi Projek Mesra Rakyat (PMR).

Katanya, usaha tersebut dengan harapan mebmeri kegembiraan kepada penduduk terbabit menjelang Ramadan dan Hari raya Aidilfitri tidak lama lagi.

“Saya yakin bantuan ini akan sedikit sebanyak mengurangkan beban mereka lebih-lebih lagi untuk menyambut Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri nanti.

“TNB sentiasa prihatin dan mengambil berat terhadap masyarakat setempat terutamanya mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19,” katanya pada penyerahan projek perumahan tersebut di sini hari ini.

PMR dan PBJ merupakan program tanggungjawab korporat TNB untuk berkongsi kemakmuran bersama rakyat yang berpendapatan rendah bagi meningkatkan kesejahteraan hidup mereka.

PBJ dilaksanakan di Perlis bermula 2008 dan sehingga kini sebanyak 47 rumah dibina dengan kos sebanyak RM2.16 juta.

Pada majlis yang sama TNB menyerah zakat perniagaan berjumlah RM309,340.11 kepada Majlis Agama Islam Negeri Perlis (MAIPs). – HARAKAHDAILY 8/4/2021

- Advertisement -