Ramai orang jadi baik ketika Ramadan

Kredit foto: Hijrah RepubliQue See Less
- Advertisement -

RAMAI orang jadi baik hanya ketika bulan Ramadan. Walhal, nak beramal boleh sahaja mulakan sekarang di bulan Syaaban.

Alhamdulillah, kita semakin hampir ke bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan.

Masih ada berbaki lebih kurang seminggu kita berada dalam bulan Syaaban yang juga terdapat kelebihannya yang tersendiri.

Masih ada peluang untuk kita merebut kelebihan yang terdapat di dalamnya.

- Advertisement -

Berkata Usamah bin Zaid RA:

 قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ لَمْ أَرَكَ تَصُومُ شَهْرًا مِنَ الشُّهُورِ مَا تَصُومُ مِنْ شَعْبَانَ ‏.‏ قَالَ ‏ “‏ ذَلِكَ شَهْرٌ يَغْفُلُ النَّاسُ عَنْهُ بَيْنَ رَجَبٍ وَرَمَضَانَ وَهُوَ شَهْرٌ تُرْفَعُ فِيهِ الأَعْمَالُ إِلَى رَبِّ الْعَالَمِينَ

Maksudnya: “Aku telah bertanya kepada Rasulullah SAW: “Ya Rasulullah, aku tidak pernah melihat seumpama (banyaknya) puasamu di bulan Sya’ban berbanding bulan-bulan yang lain kecuali bulan Ramadan”. Rasulullah SAW bersabda; “Itulah bulan Syaaban di mana manusia lalai mengenainya iaitu antara bulan Rejab dan Ramadan, ia adalah bulan di mana segala amalan diangkat kepada Allah Tuhan sekalian alam. Maka aku sangat suka sekiranya amalanku diangkat sedangkan pada masa itu aku dalam keadaan berpuasa.” (Hadis hasan riwayat al-Nasa’i, no.2357)

Berdasarkan hadis ini, ternyata Nabi SAW sendiri menyatakan bahawa orang ramai lalai daripada memperbanyakkan amalan soleh pada bulan ini.

Apa yang zahir di hadapan mata kita saban tahun, kebanyakan orang hanya berkelakuan baik atau memperbanyakkan amalan ketika masuknya bulan Ramadan.

Tahun ini kita boleh buat sedikit perubahan, kalau nak beramal tak perlu tunggu Ramadan. Mulakan sekarang.

Antara amalan sunnah yang boleh kita lakukan ialah berpuasa sunat. Hal ini turut dikuatkan dengan hadis yang lain diriwayatkan oleh Aisyah RA: 

لم أرَهُ في شَهرٍ أكثَرَ صِيامًا منه في شَعبانَ، كان يَصومُ شَعبانَ كُلَّه إلَّا قَليلًا، بل كانَ يَصومُ شَعبانَ كُلَّه

Maksudnya: “Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW berpuasa dalam bulan lain lebih daripada puasa Syaaban. Baginda pernah berpuasa Syaaban sepenuhnya kecuali beberapa hari (tidak puasa). Bahkan ada kalanya baginda berpuasa keseluruhan bulan Syaaban.” (Riwayat al-Bukhari, no.1969 dan Muslim, no.782).

Di samping puasa sunat, saya juga ingin berpesan kepada mereka yang masih belum menggantikan puasa fardu pada tahun lepas.

Sekarang masih ada peluang untuk menggantikannya. Rebutlah fadilat yang terdapat dalam bulan Syaaban yang masih berbaki ini.

Ya! Allah, berkatilah kami dalam bulan Syaaban dan semoga Engkau panjangkan usia kami untuk memasuki bulan Ramadan. Amin. – HARAKAHDAILY 8/4/2021

- Advertisement -