Projek ECRL bantu rangsang ekonomi Kelantan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan tetap menerima apa sahaja keputusan serta perubahan berkaitan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), selagi ia tidak menyusahkan rakyat.

Bagaimanapun Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, kerajaan negeri tetap mencadangkan supaya bahagian kargo di Tok Bali Pasir Puteh dapat diteruskan begitu juga stesen penumpang.

“ECRL kita terima sahaja itu lebih baik, asalnya kita di Kelantan ECRL sampai.

- Advertisement -

“Malah bukan sahaja ada stesen penumpang tetapi kargo kerana dua terma itu sangat penting bagi pembangunan ekonomi negeri.

“Rakyat kita dia rajin berusaha dan berniaga. Dengan adanya ERCL mereka akan mendapat peluang perniagaan yang lebih luas,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Pasar Awam Bandar Satellit Islam Pasir Tumboh (BSIPT) di sini hari ini.

Pasar itu diberi nama Pasar Siti Maryam. Pada majlis sama diadakan penyerahan kuarters kerajaan.

Turut hadir Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dr Izani Husin; Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Dato’ Mumtaz Md Nawi dan Yang Dipertua MPKB-BRI, Tuan Zainal Abidin Tuan Yusuf.

Sebelum ini media melaporkan kos pembinaan ECRL yang diubah semula ke jajaran asalnya bernilai RM50 bilion, lebih rendah berbanding kos asal fasa pertama dan kedua ketika projek mega itu dilancarkan pada 2017.

Jajaran baru yang dinamakan ECRL 3.0 dilaksanakan setelah mengambil kira perbincangan dengan kerajaan negeri, agensi kerajaan persekutuan, pihak berkuasa tempatan dan pemain industri. – HARAKAHDAILY 8/4/2021

- Advertisement -