Penghulu bersara diharap terus bantu kerajaan

- Advertisement -

- Advertisement -

KOTA BHARU: Peranan sebagai penghulu amat besar dalam menjayakan hasrat kerajaan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Pembangunan Wilayah, Kesejahteraan Rakyat dan Integriti Mohd Huzaimy Che Husin berkata, peranan penghulu melengkapkan tanggungjawab kerajaan kepada masyarakat.

Katanya, penghulu berada di tengah-tengah masyarakat dan tahu perkembangan yang berlaku di kawasan mereka.

“Sebab itulah penghulu biarpun sudah bersara namun masih lagi dihormati masyarakat terutamanya sebagai tempat mengadu masalah.

“Kerajaan berharap penghulu yang bersara terus menyumbang pengalaman dan khidmat kepada masyarakat,” katanya pada majlis penyampaian ganjaran penghulu bersara 2020 di sebuah hotel di sini hari ini.

Pada majlis itu seramai 32 mantan penghulu menerima ganjaran wang tunai dan sijil penghargaan di atas bakti yang diberikan mereka selama berkhidmat.

Turut hadir pada program berkenaan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan Dato’ Abdul Fattah Mahmood dan Pengarah Urusetia Penghulu Negeri Jamaluddin Ishak.

Mohd Huzaimy yang juga Adun Pantai Irama berkata, penghulu menjadi orang perantaraan dalam membantu kerajaan menyelesaikan masalah di peringkat mukim dan kampung.

Oleh itu kata beliau kerajaan negeri menzahirkan penghargaan kepada mantan-mantan penghulu yang menabur bakti sepanjang berkhidmat sebagai wakil kerajaan di peringkat mukim.

Kelantan mempunyai lebih 800 penghulu mukim dan tanpa mukim termasuk juga dilantik dalam kalangan masyarakat Cina, India, Siam dan Orang Asli. Selain itu terdapat juga penghulu wanita.

Penghulu di Kelantan juga dibayar elaun bulanan sebanyak RM900 dinaikkan daripada RM600 sebelum ini. – HARAKAHDAILY 8/4/2021

- Advertisement -