PAS Sabah perkasa kempen ambil vaksin Covid-19

Dr Aliakbar Gulasan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS Sabah akan menggerakkan seluruh jentera parti untuk membantu kerajaan melaksanakan kempen pengambilan vaksin Covid-19, kata setiausahanya, Dr. Aliakbar Gulasan.

Ini berikutan kenyataan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin menyatakan bahawa hanya 11 peratus rakyat Sabah mendaftar untuk mendapatkan vaksin Covid-19.

- Advertisement -

Beliau berkata jumlah tersebut merupakan satu angka yang sangat rendah.

“PAS Sabah akan berbincang dengan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai bantuan yang boleh dilakukan.

“PAS Sabah juga akan membuat kempen sendiri termasuk poster dan risalah sama ada berbentuk fizikal ataupun secara dalam talian.

“Kami juga akan menggunakan semua jentera parti seperti PAS kawasan, Dewan Pemuda, Ulamak dan Muslimat serta semua intitusi di bawah kelolaan PAS Sabah,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Aliakbar berpandangan kempen untuk mendapatkan vaksin mesti dilakukan oleh semua pihak sama ada agensi kerajaan, parti politik dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan.

Dalam pada itu, katanya, dalam setiap program kebajikan dan kemanusiaan di bawah kelolaan PAS Sabah juga akan diselitkan kempen kesedaran pengambilan vaksin Covid-19. – HARAKAHDAILY 8/4/2021

- Advertisement -